Khamis, 16 September 2010

Hidup Ini Memang Susah

Hidup Ini Memang Susah
Syurga itu dikelilingi perkara-perkara yang susah untuk diharungi. Hidup ini memang susah tetapi bukanlah menyusahkan. Hidup ini memang penuh dengan masalah. Allah SWT memang menjadikan hidup kita ini penuh
dengan dugaan. Kita diberi pelbagai ujian, cabaran dan lain-lain yang merupakan masalah dalam kehidupan kita ini.
Namun ramai antara kita tidak sedar hidup ini susah. Ada yang sedar tetapi ramai yang melarikan diri daripada kesusahan ini. Motivasi-motivasi pula menanamkan pemikiran bahawa hidup ini senang. Lalu ramai yang mengelak daripada masalah yang datang. Tidak menyelesaikannya kerana tidak mahu menerima hakikat bahawa hidup ini susah.
Hakikat kehidupan kita ini memang susah di mana memerlukan pelbagai hal untuk dilakukan dan dilaksanakan. Pemikiran mengatakan hidup ini senang boleh menjadikan kita lemah dan tidak mampu menyelesaikan masalah.
Saudara,
Hidup yang susah inilah yang membuatkan kita membesar dengan matang. Kita tidak mampu mengira berapa banyak masalah yang telah kita selesaikan. Masalah-masalah inilah yang mematangkan kita di dalam kehidupan kita di dunia ini.
Mengapa Allah SWT menjadikan hidup penuh dengan cabaran dan dugaan? Kita perlu memiliki kesedaran bahawa hidup ini susah iaitu penuh dengan cabaran dan dugaan. Apabila kita lupa hidup ini susah, kita tidak akan sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang berlaku. Bersedia tidak semestinya sentiasa memikirkan masalah-masalah yang akan datang. Tetapi kita sentiasa bersedia dengan fizikal dan mental jika kita berhadapan dengan masalah yang mungkin akan berlaku kepada kita. Apabila kesedaran hidup ini susah, kita juga perlu sedar bahawa kekuatan dan daya yang kita miliki ini HANYALAH sekadar kekuatan dan daya yang dialirkan Allah SWT ke dalam diri kita. Kita tidak mampu mengharungi kehidupan yang susah ini tanpa bantuan Allah SWT. Lalu kita akan sentiasa berusaha untuk berada dekat dengan Allah SWT.
Kita akan memohon dengan bersungguh-sungguh kerana kita SEDAR HIDUP INI SUSAH. Kita memerlukan bantuan Yang Maha Berkuasa Yang memberikan ujian dan dugaan di dalam hidup kita. Hanya Yang menyediakan ujian dan dugaan hidup kita ini yang tahu menyelesaikan masalah yang diciptakanNya.
Saudara, Kita tidak boleh memandang hidup ini senang. Dengan mempercayai hidup ini senang, kita akan menjadi manusia yang lemah. Memang banyak motivasi yang diberikan hari ini menyatakan hidup ini senang agar mempositifkan minda di dalam menyelesaikan masalah.
Hakikatnya ia merosakkan kerana ternyata putus asa lebih mudah berlaku apabila minda didoktrin dengan mengatakan hidup ini senang atau masalah yang kita hadapi adalah mudah. Ramai yang berputus asa di dalam hidup ini kerana mereka memikirkan hidup ini senang. Apabila sesuatu masalah menimpa, mereka fikir ia senang untuk diselesaikan. Tetapi apabila berhadapan dengan masalah tersebut, jangkaan senang itu jauh meleset. Jika persediaan jiwa (berserah pada Allah SWT) ketika ini tidak kuat, maka terjadilah putus asa dan tindakan susulan yang negatif boleh berlaku. Mereka akan gelisah, resah, tidak tenteram, dada terasa sempit dan sebagainya. Lebih ekstrim lagi mereka akan lari daripada masalah dengan mengambil jalan mudah iaitu bunuh diri, mengambil dadah dan sebagainya.
Mereka yang sentiasa memikirkan hidup ini senang akan cepat kecewa apabila ditimpa masalah. Mereka memikirkan masalah itu tidak sepatutnya berlaku kerana mereka kata hidup ini senang. Mereka tidak dapat menerima hakikat hidup ini susah dan perlukan persediaan dan bantuan Allah SWT. Hingga ke satu tahap mereka akan menyalahkan Allah SWT kerana memberikan mereka masalah itu. Ketika mereka senang, direhatkan sekejap oleh Allah SWT daripada masalah, mereka terus melupakan Allah SWT. Mereka tidak mahu memikirkan hidup ini sebenarnya susah. Mereka tidak bersedia untuk menghadapi ujian dan dugaan
yang Allah SWT akan datang kerana dalam fikiran mereka, hidup ini senang. Apa yang perlu dilakukan adalah bukan menukarkan pemikiran hidup ini susah kepada hidup ini senang. Yang perlu ditanamkan adalah pemikiran bahawa hidup ini susah dan kita tidak mampu mengharunginya TANPA BANTUAN ALLAH SWT.
Dengan kesedaran hidup ini susah, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikannya kerana kita tahu ia susah untuk diselesaikan. Kita memerlukan bantuan Allah SWT di dalam menyelesaikan apa jua dugaan dan ujian yang diberikan oleh Allah SWT kerana semua dugaan dan ujian datangnya dari Allah SWT. Kita memohon kepada Tuan Empunya Dugaan dan Ujian malah Tuan Empunya diri kita ini.
Jika kita bersungguh-sungguh memohon bantuan kepada Allah SWT, apakah masalah yang kita hadapi daripada dugaan dan ujian Allah SWT ini mustahil untuk diselesaikan?
Hakikatnya hidup ini susah tetapi bukan alasan untuk kita lari daripada masalah yang menimpa. Lari daripada masalah akan menambahkan lagi masalah. Kita akan menambah gelisah dan resah. Harungilah masalah dengan penuh pengharapan pada Allah SWT bahawa masalah ini akan selesai.
Kesedaran tertinggi bahawa hidup ini susah dan sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang mampu membantu kita di dalam hidup yang susah ini membuatkan kita akan lebih dekat dengan Allah SWT.
Kita akan bersungguh untuk berada dekat dengan Allah SWT. Kita akan memohon dengan sangat kepada Allah SWT. Kita akan menerima dengan hati yang terbuka takdir yang telah menimpa kita tetapi kita yakin dengan Allah SWT bahawa pasti ada kesenangan selepas kesusahan seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT. Menyatakan hidup ini senang sebenarnya cuba memesongkan hakikat yang sebenar bahawa hidup ini memang susah. Ia cuma menipu fikiran kita dengan tujuan agar kita melihat sesuatu itu mudah untuk dilakukan. Namun kesan sampingannya adalah amat membahayakan.
Dengan menerima hakikat hidup ini susah sememangnya membuatkan semua orang berasa beban di dalam hidup ini. Namun kita tidak boleh mengharungi hakikat hidup ini sekadar hidup ini susah sahaja. Kita perlukan kesedaran tertinggi bahawa hidup ini susah tetapi boleh diharungi dengan hanya bantuan Allah SWT sahaja.
Dengan kesedaran tertinggi maka hidup ini yang susah ini kita harunginya dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan kerana walaupun susah, hati kita sentiasa ada untuk Allah SWT. Komunikasilah sentiasa dengan Allah SWT agar jiwa kita tidak terputus untuk mengingati Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan