Niat
Niat, iaitu mengkasadkan (mencita-citakan) dan berazam untuk berbuat sesuatu, sedang tempatnya di dalam hati, tidak bergantung sama sekali dengan lisan. Sebab itu tidak pernah ditemui keterangan baik daripada Rasulullah s.a.w. mahupun dari para sahabatnya lafaz niat dalam apa cara sekalipun, dan juga tidak pernah didengar daripada mereka menyebutkannya.
Sebutan-sebutan niat inilah yang telah diada-adakan ketika hendak memulakan taharah (pensucian) dan solat, yang mana ia telah membuka pintu bagi syaitan untuk menghembuskan waswasnya. Melaluinya syaitan mendapat peluang untuk menguasai dan menyiksa mereka ketika hendak mengucapkannya. Acapkali syaitan menuntut agar niat itu harus diperbaiki lagi. Lantaran itulah, maka anda lihat di antara mereka ada orang yang mengulang-ulangi niatnya serta memberatkan dirinya untuk menyebutkannya dengan jelas.
Akan tetapi sebutan niat itu tidak termasuk solat. Dia hanyalah satu kasad atau cita-cita untuk melakukan sesuatu saja. Setiap orang yang mahu melakukan sesuatu, maka tentulah terlebih dahulu dia meniatkanya. Tidak tergambar sesuatu perbuatan itu dilakukan tanpa terlebih dahulu ada niatnya, kerana yang tersebut itu adalah hakikatnya. Tidak mungkin ditiadakan niat padahal perbuatannya ada. Jelasnya, siapa duduk untuk berwudhuk, maka sudah tentulah dia sudah terlebih dahulu meniatkan wudhuk. Begitu pula siapa berdiri untuk bersolat, pastilah sudah ada niatnya untuk mengerjakan solat itu.
Tiada seorang yang waras akalnya ketika mengerjakan sesuatu dari perkara-perkara ibadat, ataupun selain ibadat, tanpa sama sekali dikasadkan niat di dalam hatinya. Kalau begitu niat itu adalah seperkara yang pasti dan lazim pada semua perbuatan manusia yang dimaksudkan. Tidak perlu susah payah atau mencari-carinya. Andaikata seseorang itu ingin mengosongkan semua perbuatan-perbuatan yang dibuatnya daripada niat, niscaya dia tidak akan mampu melakukan yang demikian itu. Andaikata Allah Ta’ala mewajibkan manusia mengerjakan wudhuk dan solat tanpa niat, niscaya Dia telah memberatkannya sesuatu yang tidak sanggup dilakukannya, dan tidak termasuk di bawah kuasanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan