Memaparkan catatan dengan label niat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label niat. Papar semua catatan

Jumaat, 17 September 2010

Di mana Niat?

Di mana Niat?
Dari ‘Alqamah bin Waqqash al-Laitsi bahawa dia berkata: “Aku mendengar Umar bin Khattab berkata di atas mimbar: “Aku mendengar Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tiap-tiap amal perbuatan harus disertai dengan niat, balasan bagi setiap amal manusia sesuai dengan apa yang diniatkan.”
Kita tahu kerana sejak kecil kita telah diajar untuk melakukan sesuatu mesti didahului dengan niat. Inilah yang diingatkan oleh ibu bapa atau guru-guru agar kita melakukan sesuatu dengan niat yang baik.Namun, jika dilihat pada sabda Rasulullah, “tiap-tiap amal perbuatan harus disertai dengan niat’“.
Apakah makna disertai? Jika Rasulullah mengatakan ‘disertai’, maka di manakah sebenarnya niat itu? Di permulaan, di tengah-tengah atau di hujung setiap perbuatan?
Selama ini kita memahami dengan memprogramkan fikiran kita bahawa niat itu mestilah di awal setiap perbuatan semata-mata. Lalu kita hanya membaca niat atau menanamkan niat di awal perbuatan sahaja.
Cuba kita ingat kembali bersama-sama ketika kita lapar, apakah yang perlu kita lakukan? Mudah sahaja jawapannya…kita perlu makan. Makan…ia akan terlintas di fikiran kita yang kita perlukan makanan kerana kita lapar. Kita akan memikirkan makanan yang kita rasa ingin makan ketika itu. Kita akan menggerakkan tubuh badan untuk mengambil makanan, mencari makanan, memasak makanan atau juga pergi membeli makanan. Lihatlah, apabila kita lapar, kita terus memasang niat di awalnya iaitu ingin makan. Niat ini difahami oleh seluruh diri kita. Fikiran kita tahu yang kita ingin makan, jiwa kita terasa ingin makan dan juga seluruh anggota badan bergerak untuk mendapatkan makanan dengan pelbagai cara. Lihat lagi, semasa kita berada di dalam perjalanan mendapatkan makanan, niat itu masih tetap utuh dalam diri kita bahawa kita perlukan makanan untuk dimakan. Niat ini akan terus kekal semasa kita makan sehinggalah kita selesai makan.
Apabila kita melakukan sesuatu dan kita berniat kerana Allah SWT, maka seharusnya kita menyedari bahawa sepanjang masa kita melakukan sesuatu itu adalah kerana Allah SWT. NIAT BUKANLAH HANYA BERADA DI AWAL ATAU DI TENGAH -TENGAH ATAU DI AKHIR SESUATU PERBUATAN. NIAT PERLU ADA SEPANJANG MASA KETIKA MELAKUKAN SESUATU PERBUATAN.
Kenang kembali ketika kita solat. Apabila kita berniat dan mengangkat takbir, biasanya fikiran sudah hilang entah ke mana. Kita memikirkan pelbagai perkara sehingga lupa bahawa kita sedang bertemu Allah SWT. Niat kita hanyalah di bibir tetapi ia tidak ada di jiwa. Seluruh anggota kita melakukan rukun tanpa kesedaran, tanpa EHSAN (menyedari bahawa kita sedang bertemu Allah SWT atau menyedari bahawa Allah sedang melihat segala perbuatan kita). Niat kita tidak berada di sepanjang kita solat. Maka apakah kita memenuhi rukun solat yang pertama iaitu NIAT?  Adakah kita baru terfikirkan hal ini?
Begitu juga ketika kita melakukan kerja-kerja di tempat kerja kita. Ketika kita melakukan kerja, kita telah lupa kesedaran bahawa apa yang kita lakukan adalah kerana Allah SWT.
Ketika bercakap dengan kawan-kawan, kita juga selalu lupa yang Allah SWT berada dekat dengan kita. Lalu kita bercakap perkara-perkara yang lagho. Kita bercakap besar dan sombong dengan berasa diri kita sudah cukup baik dan bagus samada dari sudut dunia dan juga sudut akhirat (berasa diri sudah terlalu tinggi taqwanya).
Sebenarnya kita perlu melatih diri kita untuk sentiasa ingat bahawa setiap apa yang kita lakukan, kita lakukan kerana Allah SWT dengan menyedari bahawa Allah SWT sentiasa melihat kita. Cara yang termudah adalah ingat Allah SWT dan untuk ingat Allah, kita hendaklah sentiasa BERKOMUNIKASI DENGAN ALLAH ketika melakukan apa jua kerja. Komunikasi dengan Allah mampu membuatkan kita mengekalkan niat perbuatan kita kerana Allah SWT. Semoga selepas ini kita tidak lagi berniat hanya sekadar di bibir dan ia dilafazkan di awal perbuatan sahaja. Kita akan memastikan bahawa niat kita mulai hari ini adalah NIAT SEPANJANG MASA DI SETIAP PERBUATAN KITA.
Komunikasilah dengan Allah SWT setiap saat. Mulakannya dari sekarang. “Ya Allah, Rabb yang tidak pernah lupa. Aku memohon kepadaMu agar aku tetap terus mengingatiMu sepanjang perbuatanku ya Allah. Agar setiap perbuatanku tidak terpesong daripada jalan yang lurus iaitu jalan-jalan yang telah Engkau berikan nikmatnya pada orang-orang sebelum aku, jalan-jalan yang Engkau Redha dan bukanlah jalan-jalan yang sesat. Terima kasih Allah, terima kasih.”

Jumaat, 18 Jun 2010

Niat

Niat
Niat, iaitu mengkasadkan (mencita-citakan) dan berazam untuk berbuat sesuatu, sedang tempatnya di dalam hati, tidak bergantung sama sekali dengan lisan. Sebab itu tidak pernah ditemui keterangan baik daripada Rasulullah s.a.w. mahupun dari para sahabatnya lafaz niat dalam apa cara sekalipun, dan juga tidak pernah didengar daripada mereka menyebutkannya.

Sebutan-sebutan niat inilah yang telah diada-adakan ketika hendak memulakan taharah (pensucian) dan solat, yang mana ia telah membuka pintu bagi syaitan untuk menghembuskan waswasnya. Melaluinya syaitan mendapat peluang untuk menguasai dan menyiksa mereka ketika hendak mengucapkannya. Acapkali syaitan menuntut agar niat itu harus diperbaiki lagi. Lantaran itulah, maka anda lihat di antara mereka ada orang yang mengulang-ulangi niatnya serta memberatkan dirinya untuk menyebutkannya dengan jelas.

Akan tetapi sebutan niat itu tidak termasuk solat. Dia hanyalah satu kasad atau cita-cita untuk melakukan sesuatu saja. Setiap orang yang mahu melakukan sesuatu, maka tentulah terlebih dahulu dia meniatkanya. Tidak tergambar sesuatu perbuatan itu dilakukan tanpa terlebih dahulu ada niatnya, kerana yang tersebut itu adalah hakikatnya. Tidak mungkin ditiadakan niat padahal perbuatannya ada. Jelasnya, siapa duduk untuk berwudhuk, maka sudah tentulah dia sudah terlebih dahulu meniatkan wudhuk. Begitu pula siapa berdiri untuk bersolat, pastilah sudah ada niatnya untuk mengerjakan solat itu.

Tiada seorang yang waras akalnya ketika mengerjakan sesuatu dari perkara-perkara ibadat, ataupun selain ibadat, tanpa sama sekali dikasadkan niat di dalam hatinya. Kalau begitu niat itu adalah seperkara yang pasti dan lazim pada semua perbuatan manusia yang dimaksudkan. Tidak perlu susah payah atau mencari-carinya. Andaikata seseorang itu ingin mengosongkan semua perbuatan-perbuatan yang dibuatnya daripada niat, niscaya dia tidak akan mampu melakukan yang demikian itu. Andaikata Allah Ta’ala mewajibkan manusia mengerjakan wudhuk dan solat tanpa niat, niscaya Dia telah memberatkannya sesuatu yang tidak sanggup dilakukannya, dan tidak termasuk di bawah kuasanya.