Apa Sebenarnya Dunia
Dunia ini ciptaan Allah sebagai salah satu dari nikmat dan rahmat-Nya untuk manusia. Ini kita semua faham. Tetapi dalam pada itu, Islam mencemuh dunia. Allah ada berfirman
"Dunia ini hanyalah mata benda yang menipu." (Ali Imran : 185)
Rasulullah SAW juga ada bersabda:
"Dunia ini ibarat bangkai. Hanya anjing sahaja yang akan merebut bangkai "
Kalaulah dunia ini menipu dan dunia ini ibarat bangkai, kenapa Allah cipta dunia ini? Kenapa kita dihantar pula ke dunia ini? Tak boleh ke kita ambil dan kita guna dunia ini? Kalau tak boleh, matilah kita. Apa kita hendak makan? Apa kita hendak minum? Apa kita hendak pakai? Di mana kita hendak tinggal ?
Sebenarnya apa yang dikatakan Dunia itu bukan setakat dunia lahir ini sahaja dan segala macam mata benda yang terkandung di dalamnya. Dunia termasuk juga perkara-perkara yang maknawi dan yang bukan material. Memang wang ringgit dan harta kekayaan itu dunia. Kereta itu dunia. Rumah itu dunia. Akan tetapi gelaran dan darjah kebesaran seperti Dato', Tan Sri, Tun dan sebagainya adalah juga dunia. Pujian dan glamour juga dunia. Populariti juga dunia. Kemegahan dan kemasyhuran juga dunia. Pengaruh juga dunia.
Termasuk juga apa yang dikatakan dunia ialah perkara-perkara dan perbuatan yang sia-sia. Tengok wayang adalah dunia. Berpesta-pesta dan berpeleseran adalah dunia. Berfoya-foya adalah dunia. Menonton perlawanan bola sepak atau perlumbaan kereta formula 1 adalah dunia. Menonton konsert rock, ronggeng dan joget adalah dunia. Bermain terup dan pakau juga dunia.
Perkara dan perbuatan maksiat sudah tentulah dunia. Tidak ada maksiat yang bukan dunia. Semua maksiat adalah dunia. Minum arak adalah dunia. Berjudi adalah dunia. Bergaul bebas lelaki perempuan, berdansa dan berzina adalah dunia. Salah guna dadah adalah dunia. Rasuah adalah dunia. Menipu, mencuri, pecah rumah dan merompak kesemuanya adalah dunia.
Malahan ada rasa dan amalan hati yang juga dikira dunia. Riak adalah dunia. Ujub adalah dunia. Sum'ah adalah dunia. Megah dengan kekayaan dan keturunan itu dunia. Hasad dengki, ego, sombong dan angkuh kesemuanya adalah dunia. Yang sedihnya, kadang-kadang solat pun jadi dunia. Puasa jadi dunia. Baca Quran jadi dunia. Sedekah jadi dunia. Naik haji jadi dunia. Belajar ilmu agama sampai alim pun jadi dunia.
Sebenarnya, apa pun boleh jadi dunia. Dunia atau tidak sesuatu benda atau perkara itu bukan terletak kepada benda atau perkaranya. Ia bergantung kepada tujuan dan matlamatnya. Kalau sesuatu benda atau perkara itu, natijahnya terhenti setakat dunia maka jadi dunialah dia. Tetapi kalau natijahnya membawa kepada kebaikan, kepada keredhaan Allah dan ada pula nilai pahalanya, maka ia sudah tidak jadi dunia lagi. Ia sudah jadi Akhirat.
Benda dunia pun seperti harta benda dan wang ringgit, kalau digunakan untuk bersedekah atau berjihad kejalan Allah, maka harta benda dan wang ringgit itu sebenarnya sudah diakhiratkan. Ia bukan dunia lagi. Ilmu dunia pun seperti ilmu kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya, kalau digunakan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan merawat orang yang sakit kerana Allah, maka ia sudah jadi Akhirat. Sebaliknya amalan Akhirat sekalipun seperti solat, bersedekah, berdakwah dan membaca Quran kalau dibuat dengan tujuan untuk riak dan menunjuk-nunjuk, untuk mendapat duit, nama dan pujian dan untuk mendapat pengaruh, maka ia sudah jadi dunia. Tidak ada nilai Akhiratnya. Inilah yang menipu. Inilah yang diibaratkan sebagai bangkai.
Perkara sia-sia dan maksiat sudah tentu tidak ada kebaikan padanya. Ia hanya membuang masa dan mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah. Oleh itu, perkara sia-sia dan maksiat akan tetap jadi dunia dan mustahil dapat diakhiratkan. Tambahan lagi kita tidak boleh berjudi, minum arak, berzina, menipu, mencuri dan merompak dan diniatkan pula semua itu kerana Allah kerana semua itu adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah. Oleh itu tidak ada nilai Akhirat sedikit pun bagi perbuatan yang seperti itu.
Konsep dunia untuk dunia atau dunia habis di dunia dinamakan sekularisme. Fahaman sekularisme tidak mengambil kira tentang Akhirat dan tidak mengkaitkan soal kehidupan di dunia dengan Akhirat. Dalam fahaman sekularisme, Akhirat tidak wujud.
Sekularisme ialah fahaman yang umum. Apa sahaja amalan, sistem dan ideologi, kalau tidak ada kaitan dengan Akhirat atau tidak dikaitkan dengan Akhirat adalah sekularisme. Oleh itu komunisme adalah sekularisme. Sosialisme adalah sekularisme. Demokrasi pun adalah sekularisme. Bukan sahaja sistem-sistem ini tidak ada kaitan dengan Akhirat, ia juga bertentangan dengan syariat dan apa yang dikehendaki oleh Islam. Oleh itu nilai Akhiratnya ternafi dengan sendirinya.
Kapitalisme juga adalah sekularisme. Sistem kewangan dan perbankan berasaskan riba juga sekularisme. Semua sistem ini adalah sistem-sistem dunia yang dicipta oleh akal manusia. Akal manusia tidak ada mencipta apa-apa sistem yang tidak sekularisme. Semua sistem ciptaan akal manusia adalah sekularisme. Akal manusia sebenarnya tidak mampu mencipta apa-apa sistem yang terkeluar dari tujuan dan pengaruh dunia atau sekularisme. Tambahan lagi, yang mencipta sistem-sistem ini adalah orang-orang yang kufur dengan Allah dan tidak yakin dengan Akhirat.
Akhirnya di dunia ini hanya ada dua sistem sahaja iaitu sekularisme dan Islam. Satu adalah hasil ciptaan akal manusia dan satu lagi adalah wahyu dari Allah.
Berdasarkan hujah ini, segala amalan dan perbuatan sia-sia dan maksiat adalah sekularisme. Orang yang membuat kerja sia-sia dan maksiat tidak pernah melakukannya untuk tujuan Akhirat malahan adalah untuk tujuan dunia semata-mata. Maksiat adalah seratus peratus urusan dunia. Oleh itu maksiat adalah amalan sekularisme.
Sebab itu kita sangat bimbang bila melihat sesetengah orang atau sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menuduh pihak lain sekular. Besar kemungkinan yang menuduh itu juga hebat sekularismenya sama ada dalam amalannya, cara hidupnya, pegangannya ataupun perjuangannya. Hanya orang atau pihak yang cara hidupnya seratus peratus Islamik dan berpandukan Al Quran dan As Sunnah sahaja yang layak dipanggil tidak sekular. Kerana kalau dia tidak seratus peratus Islamik, maka sudah tentu dia terjebak dengan sekularisme di mana mana.
Merokok contohnya ialah perbuatan atau amalan sekularisme. Ia adalah amalan dunia yang mutlak. Tidak ada nilai Akhirat langsung dalam merokok. Umat Islam di dunia berbelanja berbillion-billion ringgit setahun untuk membeli rokok. Yang jadi kaya ialah orang kafir, orang Yahudi dan Nasrani. Dengan untung rokok itulah mereka merosakkan Islam dan meruntuhkan akhlak serta moral muda mudi Islam. Kalau kita merokok, mana layak kita menuduh orang lain sekular. Kita sendiri bukan setakat sekular malahan kita bagi duit lagi pada musuh untuk memusnahkan Islam. Ini boleh diqiaskan dengan perkara-perkara yang lain.Dunia ini Allah cipta dan diserahkan kepada kita manusia sebagai khalifah-Nya untuk ditadbirkan. Kita pula dituntut supaya mentadbir dunia ini mengikut hukum hakam dan syariat Allah. Bila ini dapat kita lakukan maka barulah seluruh isi dunia ini dapat memberi manfaat kepada kita. Barulah segala isi dunia ini ada nilai Akhiratnya. Allah akan memberi ganjaran atas segala usaha-usaha kita. Dan disebabkan kita menggunakan hukum hakam Allah, maka semuanya akan selamat dan menyelamatkan. Akan tercipta syurga di dunia ini sebelum syurga di Akhirat.
Hadith ada mengatakan bahawa dunia ini ibarat ladang. Di sinilah tempat kita bercucuk tanam. Hasilnya akan kita tuai di Akhirat.
Akan tetapi manusia tidak puas hati setakat menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Manusia hendak jadi tuan bumi ini. Manusia tidak mahu ikut sistem dan perundangan Allah yang memiliki bumi ini. Manusia hendak guna pakai sistem ciptaan manusia walaupun mereka hanya menumpang di bumi ini. Oleh itu Allah berlepas diri. Tidak ada ganjaran dan pahala dari Allah. Tidak ada keberkatan dari Allah. Tidak ada apa-apa nilai di Akhirat. Maka hiduplah manusia dengan sekularismenya di muka bumi. Dunia untuk dunia. Dunia habis di dunia. Di Akhirat manusia jadi muflis dan bankrap.
Disebabkan sistem ciptaan manusia hanya berbentuk sekularisme dan duniawi semata-mata yang mementingkan keperluan lahir dan jasad tanpa menghiraukan dan mengambil kira tuntutan-tuntutan hati dan rohani manusia, maka tidak wujud kasih sayang, tidak ada belas ihsan dan tidak ada tolong menolong dan bela membela. Ia penuh dengan sikap nafsi-nafsi dan tidak ada pimpinan dan petunjuk dari Allah. Hasilnya, dunia jadi haru-biru, huru-hara, kucar-kacir dan kacau-bilau. Dengan sekularisme, manusia mencipta neraka di dunia sebelum neraka yang sebenar di Akhirat.
Di sini jugalah letaknya titik pemisah di antara apa yang dikatakan orang dunia dan orang Akhirat. Walaupun semua manusia itu berada dan hidup di dunia, tetapi sesetengah dari mereka menjadikan dunia ini sebagai matlamat. Mereka mengejar, memburu dan mengumpul dunia. Mereka ini dikatakan orang dunia. Bagi orang Akhirat, dunia ini hanyalah alat atau modal untuk mencapai sesuatu yang lebih murni, lebih mulia dan lebih tinggi iaitu keredhaan, keampunan, rahmat dan kasih sayang Allah. Mereka menggunakan dunia untuk Akhirat. Mereka mengakhiratkan dunia. Dunia ini ladang bagi mereka. Di sinilah tempat mereka berusaha dan bercucuk tanam sebanyak-banyaknya. Hasilnya nanti dikutip di Akhirat di sisi Allah Azza wa Jalla.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan