Rabu, 29 September 2010
Selasa, 28 September 2010
Isnin, 27 September 2010
Didikan Allah
Didikan Allah Dalam Al Fatehah
Bila kita perhatikan 5 ayat pertama Al Fatehah, kita dapat melihat bagaimana didikan dan tarbiah Allah. Stail tarbiah Allah itu sebenarnya ada dalam surah Al Fatehah. Kalau para guru, pemimpin dan ibu ayah boleh faham, boleh hayati dan boleh applykan kepada pengikut, anak buah, murid-murid dan anak-anaknya, insyaAllah, berkat dari Allah akan sangat memberi kesan. Tetapi mungkin orang tidak perasan .
Mari kita mencungkil dari susunan ayat-ayat Al Fatehah, bagaimana Allah mendidik manusia. Kalau ilmu ini dapat kita miliki, dapatlah kita applykan dalam kita mendidik. Sebenarnya didikan dalam Al Fatehah sangat cantik dan sistematik.
Allah mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara tadarruj yakni beransur-ansur. Dari yang ringan-ringan kepada yang agak berat, sehinggalah yang sangat berat, sampailah matlamat yang Allah maksudkan. Kalau kita baca dari ayat `Bismillah` hingga "Iyyakana`budu...", banyak ilmu pendidikan yang kita dapat. Allah mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara bertahap agar sesuai dengan akal dan fitrah manusia. Sebab Allah jadikan akal dan fitrah manusia tidak boleh diasak sekaligus kerana ia akan rosak. Sama ada dia tidak tahan dan jadi jumud atau dia militan dan agresif. Keduanya Allah tidak mahu kerana keduanya bahaya. Sebab itu Allah mendidik secara bertahap.
Matlamat terakhir adalah bahawa Allah itu adalah Rabb yang mesti manusia sembah hendaknya manusia meminta tolong dari-Nya. Itu kemuncak kepada pengenalan dari didikan secara tadarruj tadi atau yang beransur-ansur. Matlamat Allah ialah supaya orang akui Dia Allah dan mesti menyembah Dia. Di awal surah, Dia tidak terus kenalkan diri Nya, "Aku Allah." Tetapi Allah perkenalkan dirinya secara sedikit demi sedikit, iaitu:
1. Allah kenalkan diriNya dengan secara gembira atau tabsyir:
Dalam "Bismillahirrahmanirrahim", dikenalkan Allah itu maha Pemurah dan maha Penyayang. Dirasakan nikmat yang terlalu banyak. Ada nikmat rohaniah, maknawiyah dan ada nikmat lahir. Bila disebut begitu, ada dua yang tersirat yakni :
a) Ada khabar gembira. Nikmat itu adalah khabar gembira.
b) Tidak ada nikmat melainkan yang Allah beri. Tidak ada saluran selain dari Allah. Sama ada nikmat maknawi atau yang lahir.
Mungkin kita tidak terasa kerana kita sudah lama menjadi orang Islam dan sudah sering mendengar Fatehah sehingga kita sudah lali. Orang Arab, waktu mula-mula datang wahyu itu, 1500 tahun lalu, bila turun ‘Bismillah’ mereka terkejut. Sebelum turunnya ayat itu, mereka fikir nikmat-nikmat itu dari jin, malaikat atau bagi hamba sahaya, dia ingat nikmat itu datang dari tuannya. Dengan turunnya ayat ‘Bismillah’, mereka terkejut dan tersedar rupa-rupanya nikmat-nikmat itu datangnya dari Allah. Jadi dia terasa bahawa rupanya Allah itu baik.
2. Bila sudah faham bahawa nikmat ini khabar gembira dari Allah maka Allah mengajak memuji Dia dengan ayat " Alhamdulillah...." Bagaimana kalau tidak sebut nikmat, tidak sebut khabar gembira tetapi terus disuruh memuji Allah? Tentu orang akan rasa, kenapa hendak puji Allah? Begitulah cantiknya cara Allah mendidik manusia.
3. Selanjutnya, manusia disedarkan bahawa pujian itu tidak boleh dikongsi. Hanya untuk Allah. raja atau orang besar tidak boleh kongsi pujian itu dengan Allah. Kalau kongsi dengan Allah, itu dosa yang paling berat. Bila dikatakan nikmat itu dari Allah, jadi layaklah Allah sahaja yang boleh dipuji. Allah kenalkan diri Nya bahawa Dia, "Rabbul `alamin," yang mentadbir seluruh alam, dunia dan Akhirat. Orang yang mula-mula dengar ayat ini, 1500 tahun lalu merasa terkejut. "Hebat Allah ya. Bukan sahaja Dia beri nikmat dan Dia yang patut dipuji, rupanya Dia itu mentadbir." Lagi terasa besarnya Allah itu. Bukan sahaja Dia mentadbir dunia, bahkan Akhirat pun Dia tadbir.
4. Kemudian Allah perkenalkan diri Nya lagi dalam "Arrahmanir rahim", diulang lagi tentang khabar gembira dan ada tanzir yang menakutkan. Cara Allah beri nikmat pada manusia ada 2 cara iaitu: pemurah dan cara kasih sayang . Kadang-kadang atas nama kasih sayang, Dia beri sedikit nikmat sahaja. Atas nama pemurah, Dia beri banyak. Tetapi atas nama pemurah, itu secara istidraj. Allah beri banyak itu secara murka. Di sini orang naik takut dan akan berfikir, adakah nikmat dari Allah itu dia dapat atas dasar istidraj atau atas dasar rahmat. Di sini ada tanzir (peringatan), ada didikan untuk menakutkan. Sehingga bila seseorang dapat nikmat Allah, dia tak akan lupa diri. Allah beri sedikit kepada orang yang Dia sayang, atas dasar rahmat juga. Seolah-olah Allah kata," Buat apalah Aku beri banyak di dunia. Beri najis kepada hamba yang Aku sayang. Aku hendak simpan nikmat untuknya di Akhirat." Tetapi manusia tidak faham. Bila dapat sedikit, rasa sedih sangat. Bila Allah beri atas dasar pemurah, kadang Allah beri banyak. Di situlah murka dan laknat Allah. Di situlah istidraj.
5. Kemudian Allah kenalkan lagi diri-Nya agar cinta dan takutkan murka Allah itu bertambah. "Malikiyau middin". Dia kenalkan diri Nya bahawa Dia miliki Akhirat.Tidak sebut dunia. Di sini juga ada didikan iaitu: Kuasa mutlak itu di tangan Allah, tidak dikongsi langsung dengan sesiapa. Allah hendak sedarkan manusia bahawa dunia yang kita pandang hebat itu sehingga manusia sampai bergaduh, rupanya tidak ada nilai di sisi Allah. Manusia sahaja yang memandang dunia itu besar sedangkan bagi Allah, tidak ada nilainya sekalipun bandingan sebelah sayap nyamuk. Maka carilah dunia untuk Akhirat. Jika tidak manusia akan sangat rugi.
6. Terasa lagi kebesaran Allah. Setelah Allah perkenalkan diri-Nya dari ayat 1 sehingga 4, setelah terasa kebesaran Allah, maka barulah Allah cakap bahawa hanya Dia yang sepatunya disembah dan Dia tempat meminta pertolongan. Dalam ayat ke 5 itu, setelah ilmu tentang Allah sudah lengkap, barulah Allah arahkan agar Dia disembah, "Iyyakana`budu waiyyakanasta`in".
Cara yang Allah lakukan itu dalam mendidik manusia, Allah minta agar manusia lakukan kepada manusia juga. Cara mendidik, cara mengasuh telah Allah tunjukkan dalam Fatehah tadi iaitu secara beransur-ansur. Cara itulah yang Allah minta kita buat dalam mendidik manusia sehingga akhirnya manusia menyembah / mengabdi kepada Allah. Itulah ilmunya, teorinya.
Luar biasanya Allah bila Allah pun telah tunjukkan realiti dari teori ini atau bagaimana Allah aplikasikan teori ini, iaitu secara realitinya, perintah solat diturunkan setelah 11 tahun kerasulan. Di peringkat awal, selama 11 tahun Allah turunkan ayat-ayat untuk mengenalkan Allah. Kalau dari awal diperintahkan solat, kita akan ragu dengan teori pendidikan beransur-ansur tadi. Seolah-olah Allah cakap lain tetapi buat lain. Tetapi terbukti, realitinya tepat dengan teorinya. Nampak kebesaran Allah. Cantik sungguh didikan Allah. Tetapi guru-guru tidak hayati ini. Rasulullah SAW mendidik manusia dengan kenalkan Allah dahulu. Pada tahun ke 11 kerasulan barulah solat diwajibkan.
Itulah ilmu pendidikan yang kita dapat cungkil dari susunan ayat dalam surah Al Fatehah. Maha Besar Allah.
Jumaat, 24 September 2010
Apa Sebenarnya Dunia
Apa Sebenarnya Dunia
Dunia ini ciptaan Allah sebagai salah satu dari nikmat dan rahmat-Nya untuk manusia. Ini kita semua faham. Tetapi dalam pada itu, Islam mencemuh dunia. Allah ada berfirman
"Dunia ini hanyalah mata benda yang menipu." (Ali Imran : 185)
Rasulullah SAW juga ada bersabda:
"Dunia ini ibarat bangkai. Hanya anjing sahaja yang akan merebut bangkai "
Kalaulah dunia ini menipu dan dunia ini ibarat bangkai, kenapa Allah cipta dunia ini? Kenapa kita dihantar pula ke dunia ini? Tak boleh ke kita ambil dan kita guna dunia ini? Kalau tak boleh, matilah kita. Apa kita hendak makan? Apa kita hendak minum? Apa kita hendak pakai? Di mana kita hendak tinggal ?
Sebenarnya apa yang dikatakan Dunia itu bukan setakat dunia lahir ini sahaja dan segala macam mata benda yang terkandung di dalamnya. Dunia termasuk juga perkara-perkara yang maknawi dan yang bukan material. Memang wang ringgit dan harta kekayaan itu dunia. Kereta itu dunia. Rumah itu dunia. Akan tetapi gelaran dan darjah kebesaran seperti Dato', Tan Sri, Tun dan sebagainya adalah juga dunia. Pujian dan glamour juga dunia. Populariti juga dunia. Kemegahan dan kemasyhuran juga dunia. Pengaruh juga dunia.
Termasuk juga apa yang dikatakan dunia ialah perkara-perkara dan perbuatan yang sia-sia. Tengok wayang adalah dunia. Berpesta-pesta dan berpeleseran adalah dunia. Berfoya-foya adalah dunia. Menonton perlawanan bola sepak atau perlumbaan kereta formula 1 adalah dunia. Menonton konsert rock, ronggeng dan joget adalah dunia. Bermain terup dan pakau juga dunia.
Perkara dan perbuatan maksiat sudah tentulah dunia. Tidak ada maksiat yang bukan dunia. Semua maksiat adalah dunia. Minum arak adalah dunia. Berjudi adalah dunia. Bergaul bebas lelaki perempuan, berdansa dan berzina adalah dunia. Salah guna dadah adalah dunia. Rasuah adalah dunia. Menipu, mencuri, pecah rumah dan merompak kesemuanya adalah dunia.
Malahan ada rasa dan amalan hati yang juga dikira dunia. Riak adalah dunia. Ujub adalah dunia. Sum'ah adalah dunia. Megah dengan kekayaan dan keturunan itu dunia. Hasad dengki, ego, sombong dan angkuh kesemuanya adalah dunia. Yang sedihnya, kadang-kadang solat pun jadi dunia. Puasa jadi dunia. Baca Quran jadi dunia. Sedekah jadi dunia. Naik haji jadi dunia. Belajar ilmu agama sampai alim pun jadi dunia.
Sebenarnya, apa pun boleh jadi dunia. Dunia atau tidak sesuatu benda atau perkara itu bukan terletak kepada benda atau perkaranya. Ia bergantung kepada tujuan dan matlamatnya. Kalau sesuatu benda atau perkara itu, natijahnya terhenti setakat dunia maka jadi dunialah dia. Tetapi kalau natijahnya membawa kepada kebaikan, kepada keredhaan Allah dan ada pula nilai pahalanya, maka ia sudah tidak jadi dunia lagi. Ia sudah jadi Akhirat.
Benda dunia pun seperti harta benda dan wang ringgit, kalau digunakan untuk bersedekah atau berjihad kejalan Allah, maka harta benda dan wang ringgit itu sebenarnya sudah diakhiratkan. Ia bukan dunia lagi. Ilmu dunia pun seperti ilmu kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya, kalau digunakan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan merawat orang yang sakit kerana Allah, maka ia sudah jadi Akhirat. Sebaliknya amalan Akhirat sekalipun seperti solat, bersedekah, berdakwah dan membaca Quran kalau dibuat dengan tujuan untuk riak dan menunjuk-nunjuk, untuk mendapat duit, nama dan pujian dan untuk mendapat pengaruh, maka ia sudah jadi dunia. Tidak ada nilai Akhiratnya. Inilah yang menipu. Inilah yang diibaratkan sebagai bangkai.
Perkara sia-sia dan maksiat sudah tentu tidak ada kebaikan padanya. Ia hanya membuang masa dan mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah. Oleh itu, perkara sia-sia dan maksiat akan tetap jadi dunia dan mustahil dapat diakhiratkan. Tambahan lagi kita tidak boleh berjudi, minum arak, berzina, menipu, mencuri dan merompak dan diniatkan pula semua itu kerana Allah kerana semua itu adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah. Oleh itu tidak ada nilai Akhirat sedikit pun bagi perbuatan yang seperti itu.
Konsep dunia untuk dunia atau dunia habis di dunia dinamakan sekularisme. Fahaman sekularisme tidak mengambil kira tentang Akhirat dan tidak mengkaitkan soal kehidupan di dunia dengan Akhirat. Dalam fahaman sekularisme, Akhirat tidak wujud.
Sekularisme ialah fahaman yang umum. Apa sahaja amalan, sistem dan ideologi, kalau tidak ada kaitan dengan Akhirat atau tidak dikaitkan dengan Akhirat adalah sekularisme. Oleh itu komunisme adalah sekularisme. Sosialisme adalah sekularisme. Demokrasi pun adalah sekularisme. Bukan sahaja sistem-sistem ini tidak ada kaitan dengan Akhirat, ia juga bertentangan dengan syariat dan apa yang dikehendaki oleh Islam. Oleh itu nilai Akhiratnya ternafi dengan sendirinya.
Kapitalisme juga adalah sekularisme. Sistem kewangan dan perbankan berasaskan riba juga sekularisme. Semua sistem ini adalah sistem-sistem dunia yang dicipta oleh akal manusia. Akal manusia tidak ada mencipta apa-apa sistem yang tidak sekularisme. Semua sistem ciptaan akal manusia adalah sekularisme. Akal manusia sebenarnya tidak mampu mencipta apa-apa sistem yang terkeluar dari tujuan dan pengaruh dunia atau sekularisme. Tambahan lagi, yang mencipta sistem-sistem ini adalah orang-orang yang kufur dengan Allah dan tidak yakin dengan Akhirat.
Akhirnya di dunia ini hanya ada dua sistem sahaja iaitu sekularisme dan Islam. Satu adalah hasil ciptaan akal manusia dan satu lagi adalah wahyu dari Allah.
Berdasarkan hujah ini, segala amalan dan perbuatan sia-sia dan maksiat adalah sekularisme. Orang yang membuat kerja sia-sia dan maksiat tidak pernah melakukannya untuk tujuan Akhirat malahan adalah untuk tujuan dunia semata-mata. Maksiat adalah seratus peratus urusan dunia. Oleh itu maksiat adalah amalan sekularisme.
Sebab itu kita sangat bimbang bila melihat sesetengah orang atau sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menuduh pihak lain sekular. Besar kemungkinan yang menuduh itu juga hebat sekularismenya sama ada dalam amalannya, cara hidupnya, pegangannya ataupun perjuangannya. Hanya orang atau pihak yang cara hidupnya seratus peratus Islamik dan berpandukan Al Quran dan As Sunnah sahaja yang layak dipanggil tidak sekular. Kerana kalau dia tidak seratus peratus Islamik, maka sudah tentu dia terjebak dengan sekularisme di mana mana.
Merokok contohnya ialah perbuatan atau amalan sekularisme. Ia adalah amalan dunia yang mutlak. Tidak ada nilai Akhirat langsung dalam merokok. Umat Islam di dunia berbelanja berbillion-billion ringgit setahun untuk membeli rokok. Yang jadi kaya ialah orang kafir, orang Yahudi dan Nasrani. Dengan untung rokok itulah mereka merosakkan Islam dan meruntuhkan akhlak serta moral muda mudi Islam. Kalau kita merokok, mana layak kita menuduh orang lain sekular. Kita sendiri bukan setakat sekular malahan kita bagi duit lagi pada musuh untuk memusnahkan Islam. Ini boleh diqiaskan dengan perkara-perkara yang lain.Dunia ini Allah cipta dan diserahkan kepada kita manusia sebagai khalifah-Nya untuk ditadbirkan. Kita pula dituntut supaya mentadbir dunia ini mengikut hukum hakam dan syariat Allah. Bila ini dapat kita lakukan maka barulah seluruh isi dunia ini dapat memberi manfaat kepada kita. Barulah segala isi dunia ini ada nilai Akhiratnya. Allah akan memberi ganjaran atas segala usaha-usaha kita. Dan disebabkan kita menggunakan hukum hakam Allah, maka semuanya akan selamat dan menyelamatkan. Akan tercipta syurga di dunia ini sebelum syurga di Akhirat.
Hadith ada mengatakan bahawa dunia ini ibarat ladang. Di sinilah tempat kita bercucuk tanam. Hasilnya akan kita tuai di Akhirat.
Akan tetapi manusia tidak puas hati setakat menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Manusia hendak jadi tuan bumi ini. Manusia tidak mahu ikut sistem dan perundangan Allah yang memiliki bumi ini. Manusia hendak guna pakai sistem ciptaan manusia walaupun mereka hanya menumpang di bumi ini. Oleh itu Allah berlepas diri. Tidak ada ganjaran dan pahala dari Allah. Tidak ada keberkatan dari Allah. Tidak ada apa-apa nilai di Akhirat. Maka hiduplah manusia dengan sekularismenya di muka bumi. Dunia untuk dunia. Dunia habis di dunia. Di Akhirat manusia jadi muflis dan bankrap.
Disebabkan sistem ciptaan manusia hanya berbentuk sekularisme dan duniawi semata-mata yang mementingkan keperluan lahir dan jasad tanpa menghiraukan dan mengambil kira tuntutan-tuntutan hati dan rohani manusia, maka tidak wujud kasih sayang, tidak ada belas ihsan dan tidak ada tolong menolong dan bela membela. Ia penuh dengan sikap nafsi-nafsi dan tidak ada pimpinan dan petunjuk dari Allah. Hasilnya, dunia jadi haru-biru, huru-hara, kucar-kacir dan kacau-bilau. Dengan sekularisme, manusia mencipta neraka di dunia sebelum neraka yang sebenar di Akhirat.
Di sini jugalah letaknya titik pemisah di antara apa yang dikatakan orang dunia dan orang Akhirat. Walaupun semua manusia itu berada dan hidup di dunia, tetapi sesetengah dari mereka menjadikan dunia ini sebagai matlamat. Mereka mengejar, memburu dan mengumpul dunia. Mereka ini dikatakan orang dunia. Bagi orang Akhirat, dunia ini hanyalah alat atau modal untuk mencapai sesuatu yang lebih murni, lebih mulia dan lebih tinggi iaitu keredhaan, keampunan, rahmat dan kasih sayang Allah. Mereka menggunakan dunia untuk Akhirat. Mereka mengakhiratkan dunia. Dunia ini ladang bagi mereka. Di sinilah tempat mereka berusaha dan bercucuk tanam sebanyak-banyaknya. Hasilnya nanti dikutip di Akhirat di sisi Allah Azza wa Jalla.
Hayatilah Sifat Allah
Hayatilah Sifat Allah Hingga Jatuh Cinta KepadaNya
Roh sebelum dihantar ke alam dunia ini memang sudah mengenali dan mengakui bahawa Allah adalah Allah yang wajib disembah. Pernah Allah bertanya kepada roh: "Tidakkah Aku ini Allah kamu?" Jawab roh: "Bahkan."
Ini membuktikan roh sudah pun mengenali dan mengakui Allah sebagai Rabbnya tanpa perlu belajar atau diajar. Tetapi sebaik sahaja roh itu dimasukkan ke dalam jasad manusia; berpindah dari alam roh kepada alam dunia, berpindah dari alam yang cerah kepada alam yang gelap pekat; ia sudah lupa kepada Rabbnya. Mengapa perkara ini boleh berlaku?
Untuk menjawab pertanyaan itu, mari kita fikir sejenak. Kadangkala untuk kita mengimbas semula kisah sewaktu kita masih kecil pun mustahil kita dapat ceritakan secara terperinci peristiwa demi peristiwa yang berlaku ke atas diri kita. Melainkan ibu, ayah atau adik-beradik yang lebih tua dari kita yang menceritakan kisah tersebut. Itu pun hanya tidak secara terperinci. Banyak perkara yang kita sendiri lupa tentang diri sendiri. Sedangkan jarak masa tersebut tidaklah terlalu lama cuma puluhan tahun. Inikan pula sewaktu semua manusia berada di alam roh (sebelum Nabi Adam di turunkan ke bumi), tentulah kita sudah terlupa dengan apa yang pernah roh kita ucapkan di hadapan Allah itu. Sebab itulah apabila kita dilahirkan ke dunia, ibu bapa atau pendidiklah bertanggung jawab mengenalkan sifat-sifat Allah kepada kita. Kerana tanpa kenal Allah, mustahil kita dapat menyintai-Nya. Bak kata pepatah Melayu, "Tak kenal maka tak cinta".
Dalam pengalaman kita sendiri, untuk kita mengenal seseorang itu pun memakan masa. Tidak cukup sekadar mengenal namanya, anak siapa atau di mana tempat tinggalnya. Lebih-lebih lagi untuk sampai kita jatuh hati kepadanya; mestilah kita kenal hati budinya. Jasa-jasa yang telah dilakukan; akhlaknya, pemurahnya, sifat penyayangnya, penyabarnya dan sebagainya. Jika setiap hari kita diceritakan tentang dirinya; pengorbanan yang dibuat, jasa-jasanya, kehebatan peribadinya, ibadahnya serta kebaikan-kebaikan lain yang dibuat; tentulah timbul keinginan untuk mengenali dirinya lebih dekat lagi. Bila timbul keinginan untuk mengenalinya, kita sendiri yang akan berusaha untuk bertanya kepada yang empunya diri. Kalau tidak pun kita akan berusaha untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai orang yang kita suka itu. Kita bukan sahaja tahu namanya atau latar belakang mengenai dirinya, tapi kita juga boleh ceritakan apakah kegemarannya, hobinya pada waktu lapang, makanan kesukaannya. Kadang-kadang perkara yang dibencinya juga kita boleh dapat tahu. Lama-kelamaan kerana rapatnya hubungan kita dengannya, tanpa disedari akan berputik pula rasa suka, sayang dan rindu kalau lama tidak berjumpa. Inilah bibit-bibit cinta bila hati sudah jatuh hati kepada seseorang.
Begitu juga kalau kita ingin jatuh cinta kepada Allah, Allah yang menciptakan kita. Kita mesti mengetahui sifat-sifat-Nya supaya kita kenal siapa Allah yang kita sembah setiap hari. Selama ini kita hanya kenal Allah sebagai Rabb kita. Dia yang berhak disembah. Jika tidak menyembah-Nya boleh menyebabkan kita jatuh syirik. Tetapi pengenalan yang terlalu umum seumpama itu tidak menimbulkan rasa cinta apalagi rindu untuk selalu `menghadap-Nya `. Selama ini kita solat atau menemui Allah kerana terpaksa; sebagai satu kewajipan. Bukan kerana rindu untuk bertemu denganNya. Sebab itu, untuk mengenal-Nya lebih-lebih lagi jatuh cinta kepada-Nya, kita mesti kenal sifat-sifat Allah. Supaya semakin kita kenal Allah, maka semakin indah kita rasakan memiliki Allah. Apabila kenal siapa Rabb kita, barulah timbul perasaan cinta dan takut kepada murkaNya. Bahkan kita rasa terhutang budi kepada-Nya kerana Dia memberi nikmat terlalu banyak kepada kita.
Untuk mengenali sifat-sifat Allah, kita mestilah memiliki ilmu tentang-Nya. Ilmu itu pula disampaikan oleh guru yang boleh mendidik hati kita. Sifat-sifat Allah itu terlalu banyak untuk dihuraikan satu persatu. Cuma mari kita ambil beberapa sifat Allah untuk dibincangkan di sini demi mendekatkan diri kita dengan Allah.
1 . Sebagai Pelindung
Mari kita rasakan dan yakini bahawa Allah adalah Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat. Duduk di bawah Perlindungan-Nya, kita tidak perlu rasa bimbang. Dialah Penjaga yang tidak pernah rehat-rehat. Kalau seorang ibu yang menjaga anaknya; pun masih perlu tidur pada waktu malam. Dan sewaktu dia rehat atau tidur; kalau berlaku apa-apa ke atas anaknya, dia pasti tidak tahu kerana tertidur. Tetapi Allah sebagai Penjaga yang tidak pernah tidur, letih, rehat atau terlalai. Sebab itu ada orang soleh yang setiap kali hendak tidur,dia akan mengamalkan doa ini: " Wahai Allah, Engkaulah Penjagaku sewaktu aku jaga dan aku tidur. Engkau jagalah aku sewaktu aku tidur kerana Engkau tidak tidur. Dan bangunkan aku dari tidurku untuk aku beribadah kepadaMu. "
2. Allah Sebagai Pengawal
Begitu juga sifat Pengawal-Nya. Kalau pemimpin-pemimpin, sudah tentu memiliki ramai pengawal-pengawal di sekelilingnya. Namun walau bagaimana ketat kawalan mereka, masih ada juga pemimpin yang mati ditembak, diculik dan dijadikan tebusan. Tetapi sifat Pengawal Allah ini luar biasa kawalanNya. Dia mengawal seluruh makhluk yang diciptaNya termasuk manusia, haiwan, tumbuhan, gunung ganang, lautan, alam semesta yang luas terbentang, alam yang lahir mahupun yang ghaib. Tiada satu makhluk pun yang di luar kawalan-Nya. Mana ada satu kuasa yang dapat mengawal sehebat kawalan Allah itu?
Begitu juga sifat Pengawal-Nya. Kalau pemimpin-pemimpin, sudah tentu memiliki ramai pengawal-pengawal di sekelilingnya. Namun walau bagaimana ketat kawalan mereka, masih ada juga pemimpin yang mati ditembak, diculik dan dijadikan tebusan. Tetapi sifat Pengawal Allah ini luar biasa kawalanNya. Dia mengawal seluruh makhluk yang diciptaNya termasuk manusia, haiwan, tumbuhan, gunung ganang, lautan, alam semesta yang luas terbentang, alam yang lahir mahupun yang ghaib. Tiada satu makhluk pun yang di luar kawalan-Nya. Mana ada satu kuasa yang dapat mengawal sehebat kawalan Allah itu?
3. Allah Sebagai Penyelamat
Lebih-lebih lagi sifat Penyelamat Dalam apa jua keadaan yang genting sekalipun, Dialah satu-satunya Penyelamat. Saksikan sejarah Nabi Ibrahim yang dicampak ke dalam kawah api yang besar atau peristiwa Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan Nun. Kedua-duanya Allah selamatkan. Begitu juga kisah Nabi Musa sewaktu dikejar oleh Firaun serta tenteranya. Apabila berdepan dengan saat genting didepannya lautan yang luas sedang tentera Firaun mengejar dibelakangnya; siapa yang menyelamatkan mereka. Bukankah sifat Penyelamat Allah yang menyelamatkan mereka dengan terbelahnya lautan tersebut menjadi laluan untuk mereka menyeberanginya?
Sebab itu rasakan dan yakinlah bahawa Allah itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat.
4. Allah Berkuasa Berbuat Apa Saja
Walaupun sifat Allah itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat; Dia juga boleh melakukan apa sahaja ke atas diri kita. Buktinya banyak kita dengar kejadian kemalangan yang meragut nyawa, banjir besar, gempa bumi, kemarau dan berbagai kes jenayah yang kesemuanya melibatkan keselamatan manusia? Bencana alam yang disebutkan itu, bukan sahaja meragut nyawa manusia malah dalam sekelip mata bencana tersebut boleh meranapkan segala bangunan serta infrastruktur yang ada bagaikan padang jarak padang tekukur.
Dalam hal ini kita perlu faham, apa sahaja kejadian yang Allah timpakan, pasti ada hikmah yang tersirat kerana Dia Maha Suci daripada menzalimi makhlukNya . Di sinilah kita perlu takut kepada-Nya. Gerun dengan kemurkaan-Nya itu. Hanya dengan menyebut kun atau `jadi` maka `jadilah` sepertimana kehendak Allah.
5. Allah itu Pengasih dan Penyayang
Tetapi bila kita bahaskan pula sifat Pengasih dan Penyayang kepada makhluk-Nya, sekali lagi kita merasa kagum. Dia sangat kasih dan sayang terutama kepada manusia sebagai hamba-Nya. Kasih sayang-Nya tiada batas dan hadnya. Kasih sayang Allah pula tanpa bersebab atau berkepentingan. Kalau seorang ibu mengasihi anaknya hatta nyawa sanggup dijadikan tebusan, namun kasih sayang Allah melebihi kasih seorang ibu terhadap anaknya.
Dia juga tidak pilih kasih . Manusia walau apa bangsa, bahasa, agama, warna kulit serta berbagai taraf kedudukannya di tengah masyarakat tetap mendapat kasih sayang Allah .
Banyak bukti yang menunjukkan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, antaranya:
Firman Allah yang bermaksud:
"Dia yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit bagaikan binaan dan diturunkan danpada langit itu air (hujan) maka darinya dikeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu. Maka dengan sebab itu janganlah kamu mencipta sekutu bagi Allah sedangkan kamu mengetahuinya." (Al Baqarah :22)
Firman lain yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang dan bintang yang bergerak amat berguna pada nelayan, Allah menurunkan dari langit hujan maka ia menghidupkan bumi yang mati dan dibiakkan di atasnya segala macam haiwan, dan dipindahkan angin dan awan di antara langit dan bumi, itu semua sebagai tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berakal."
Allah sangat kasih kepada hamba-Nya yang menurut perintah-Nya namun bagi yang terlanjur dan banyak melakukan dosa; Allah tetap memujuk agar tidak berputus asa dari kasih sayang-Nya.
Ini jelas dalam sebuah firman-Nya yang bermaksud:
"Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas ke atas din sendiri, janganlah kamu berputus asa dan kasih sayang Allah, sesungguhnya Allah boleh mengampuni dosa-dosa semua, sesungguhnya Dia Allah yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang"
Mari kita lihat lagi kasih sayang Allah kepada kita. Sewaktu kita di uji dengan kesakitan Dialah yang menyembuhkannya. Sewaktu kita lapar dan kehausan, Dialah yang memberi makan dan minum. Sewaktu kita keseorangan, Dia kurniakan suami atau isteri serta anak-anak agar rasa terhibur. Sewaktu dilanda masalah, Dialah yang memberi jalan penyelesaiannya. Sewaktu kita berhajat kepada sesuatu, Dialah yang menunaikan hajat yang kita pinta itu. Kalaupun tidak semuanya dikabulkan tapi ada juga sebahagiannya yang telah dikabulkan. Kalau mahu dihitung terlalu banyak bukti menunjukkan kasih sayang Allah kepada kita. Cukup sekadar beberapa contoh membuktikan begitulah kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya.
6. Murkanya Berhikmah
Walaupun hebat kasih sayang Allah, namun Dia boleh murka kepada hamba-Nya. Tetapi kemurkaanNya berhikmah dan mengandungi pengajaran. Sebagai contoh apabila berlaku kemarau panjang di sesebuah tempat, musnahlah tanaman dan banyak haiwan yang mati; manusia juga merasai kesengsaraan akibat kekurangan makanan. Mengapa Allah biarkan manusia menderita, memusnahkan tanaman haiwan ternakan? Apakah Allah tidak kasih kepada makhluknya? Sebenarnya takdir yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah ingin menghukum kesalahan manusia di dunia supaya kita terlepas daripada hukuman-Nya di Akhirat yang maha dahsyat . Selain dari itu hikmah di sebalik musibah ialah agar manusia merasai betapa lemah dan dhaif hingga tidak berupaya berhadapan dengan kekuasaan Allah SWT . Ini menyedarkan kita sebagai hamba lebih baik menyerah saja kepada Allah SWT. Musibah juga bagi orang yang beriman ada dua maksud iaitu sebagai penghapusan dosa dan sebagai pengangkat darjat di sisi Allah bagi yang tidak berdosa.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Setelah seseorang itu tercatat namanya di Syurga dan dia tidak berupaya mencapainya melalui ibadah, maka Allah SWT mendatangkan ujian yang dengannya dia bersabar maka kekallah namanya sebagai ahli Syurga." (Riwayat At Tabrani)
Rasulullah SAW bersabda lagi maksudnya:
"Apabila Allah menyayangi hamba-Nya maka dia diuji agar Allah mendengar rintihannya (dengan kerendahan diri)." (Riwayat Al Baihaqi)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Tiada seorang mukmin ditimpa kesakitan, kepayahan, penyakit, kesedihan hatta duri yang menusuk, kecuali dengan itu menghapuskan dosa-dosanya." (Riwayat Al Bukhan)
" Sebab itu kalau manusia faham, dia akan tenang menghadapi ujian itu. Sebaliknya jika dia tidak faham maksud Allah, kemudian tidak sabar, maka dia berhadapan dengan dua kesusahan. Pertama kesusahan kerana ujian kemarau yang menimpa. Kedua, susah hati dan menderita dengan kesusahan tersebut."
Khamis, 23 September 2010
Al Jannatul Ajilah
Surga yang didahulukan
Perkara pertama yang dituntut dalam Islam ialah mengenal Allah.
Betapa kasih sayang-Nya Dia terhadap kita. Diberi-Nya kita nikmat supaya kita bersyukur. Dan kalau kita bersyukur, ditambah-Nya lagi nikmat-Nya itu kepada kita. Diuji-Nya kita dengan kesusahan. Dan kalau kita bersabar, dihapuskan dosa-dosa kita dan diangkat-Nya darjat kita. Dalam nikmat-Nya ada rahmat. Dalam ujian-Nya juga ada rahmat. Alangkah baiknya Allah kita itu. Keampunan-Nya mengatasi kemurkaan-Nya. Subhanallah.
Kalau kita terbuat dosa sebesar dunia ini pun, Allah akan kurniakan keampunan-Nya sebesar dunia ini juga kalau kita sudi dan mahu bertaubat dan meminta ampun dari-Nya. Disuruh-Nya kita beriman dan beramal soleh. Bukan kerana Dia akan mendapat untung apa-apa tetapi kerana Dia mahukan kita selamat hidup di dunia dan selamat hidup di akhirat. Supaya hidup kita tenang dan bahagia. Supaya di dunia ini pun kita dapat hidup seperti di syurga sebelum Syurga yang sebenar di akhirat nanti. Inilah apa yang dikatakan `Al Jannatul Ajilah` atau`syurga yang didahulukan` yang Allah janjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Allah seolah-olah bertungkus-lumus menjaga kita. Pagi petang, siang dan malam. Dia tidak tidur, tidak rehat, tidak mengantuk dan tidak penat. Dia tidak pernah melupakan kita. Kita yang selalu melupakan Dia. Namun, dalam kita lupakan Dia pun, Allah tetap menjaga kita. Dia tetap memberi kita rezeki. Dia Allah. Dia tidak perlukan kita. Kita hamba. Kita yang perlukan Dia. Tetapi Allah rela `memperhambakan` Diri-Nya dan bersusah-payah demi untuk menjaga kepentingan hamba-hamba-Nya.
Begitulah Allah. Kalau kita betul-betul kenal akan Dia, sudah barang tentu kita akan sayang dan jatuh cinta pada-Nya. Jasa dan kebaikan-Nya kepada kita tidak dapat dikira atau dihitung. Ia terlalu banyak. Tak kenal maka tak cinta. Yang tidak sayang dan tidak cinta pada Allah hanyalah orang yang tidak kenal akan Dia. Setelah cinta, akan timbul rasa takut pada Allah. Takut ini bukan macam kita takut harimau. Allah bukan hendak baham kita macam harimau.
Kita takut terputus cinta dengan Allah. Kita takut kalau-kalau Allah tidak peduli atau tidak endahkan kita lagi . Kita takut Allah tidak kisah dan tidak ambil berat tentang kita lagi . Kita takut Allah lupakan kita. Kita takut tersisih dari rahmat, keampunan dan kasih sayang Allah.
Bagi orang yang bercinta, putus cintalah yang paling ditakutinya. Ini termasuklah bercinta dengan Allah. Takut inilah yang dinamakan ‘taqwa’. Taqwa ini banyak faedah dan kebaikannya pada diri kita. Antaranya:
- Ia menghapuskan dosa
- Ia mendatangkan syafaat
- Ia benteng dari maksiat
- Ia pemangkin untuk membangunkan syariat
- Ia boleh mencetuskan rasa berRabb yang sangat kuat diikuti dengan rasa kehambaan yang juga kuat
- Ia membunuh sifat `hubbud dunia` atau cinta dunia iaitu ibu atau kepala segala maksiat
- Ia membakar dan mencairkan sifat-sifat mazmumah dan keji di dalam hati
Perkara kedua yang dituntut dalam Islam selepas mengenal Allah cinta kepada Allah ialah kasih sayang . Kasih sayang sesama manusia adalah cetusan dari rasa cinta dan rasa takut kepada murka Allah . Manusia tidak akan boleh bersatu padu dan berkasih sayang kalau tidak diikat dengan tali-tali Allah. Dalam Al-Quran, Allah ada berfirman:
"Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah." (Al-Imran:103)
Tali-tali Allah di sini bermaksud rasa cinta dan rasa takut pada murka Allah .Kalau semua manusia cinta dan takut pada murka Allah, mereka akan berkasih sayang di antara satu sama lain kerana hati-hati mereka diikat kepada Allah yang satu. Sesiapa yang berpegang kepada Allah, mereka akan berkasih sayang sesama mereka. Tidak ada orang bergaduh kerana merebut Allah.
Sesiapa yang berpegang kepada dunia (apa-apa pun selain Allah), hati-hati mereka akan bercerai berai dan mereka akan berpecah belah. Memang dunia ini punca segala rebutan, pergaduhan, perbalahan, krisis, penindasan dan perpecahan.
Ada Hadis yang bermaksud lebih kurang: "Kamu tidak cinta pada Allah kalau kamu tidak cinta pada makhluk-Nya."
Kalau cinta pada makhluk selain manusia pun sudah dianggap sebagai bukti cinta kita pada Allah, inikan pula cinta kita sesama manusia? Tentulah cinta dan kasih sayang sesama manusia itu lebih dituntut. Sebagai tamsilan, kalau kita hormat, sayang dan cinta kepada bos kita, sudah tentulah kita sayang juga pada kucingnya. Kalau kita pergi ke rumah bos, masakan gamak kita tendang kucingnya atau kita sengaja pijak ekor kucingnya. Kita sayang bos kita dan sudah tentu kita sayang kepada apa sahaja yang disayangi oleh bos kita itu termasuk kucingnya. Itu baru betul-betul sayang.
Samalah dengan Allah. Kalau kita betul-betul cinta Allah, automatik, kita akan sayang pada apa sahaja yang menjadi kesayangan Allah termasuklah sekelian makhluk-Nya. Kasih sayang juga banyak faedah dan kebaikannya pada diri kita. Antaranya:
- Ia memudahkan kita memaafkan orang
- Kalau kita bersalah, kita mudah meminta maaf
- Kita jadi mudah mesra dengan orang
- Mudah memberi senyum kepada orang
- Bertanggungjawab terhadap jiran
- Kalau kita kaya, senang jadi pemurah
- Kalau kita miskin, mudah sabar dan tidak menganiayai harta orang kaya
- Mudah memberi bantuan kepada orang susah, menolong mereka, bersimpati atau memberi kemesraan kepada mereka.
Cuba kita lapangkan fikiran dan hati kita buat seketika dan mari kita bayangkan suatu suasana di mana hubungan kita dengan Allah sungguh baik iaitu kita sangat cinta pada-Nya, kita baik sangka dengan-Nya, Dialah pelindung, pembela dan penyelamat kita dan Dialah tempat kita bergantung harap dan tempat kita mengadu segala hal dan masalah. Kita betul-betul rasa Allah itu kita punya, Allah itu hak kita dan kita rela dan berbahagia menjadi hambaNya.
Bayangkan juga satu suasana di mana semua manusia disekeliling kita, baik ibu kita, ayah, isteri, anak-anak, jiran tetangga, rakan pejabat, rakan sekolah, kawan sekampung, kawan setaman, semuanya kekasih-kekasih kita belaka yang sangat kita sayang dan rindukan. Mereka juga merasakan begitu terhadap kita. Selalu bertanya khabar, bertolong bantu, ziarah menziarah, memberi hadiah dan mendoakan kita. Mereka sangat-sangat inginkan kebaikan untuk kita dan sanggup pula bersusah payah dan berkorban apa sahaja untuk kita.
Alangkah bahagianya hidup kita. Dengan Allah kita bercinta, Sesama manusia kita berkasih sayang. Kalau wujudlah keadaan yang seperti ini, apalagikah yang kita inginkan? Kita rasa kuat dengan Allah, rasa terbela sesama manusia, rasa aman, tenang, harmoni dan penuh keselamatan. Hidup di dunia bersama kekasih. Pulang ke akhirat pun untuk bertemu kekasih.
Rabu, 22 September 2010
Sabtu, 18 September 2010
Puasa 6
“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun.” – Hadith Riwayat Muslim
Mengapa dikatakan begitu? Ini kerana, orang yang melakukan 1 kebaikan akan mendapat 10 kebaikan yang setara. Berpuasa selama 1 bulan di bulan Ramadhan bererti puasanya adalah sama dengan puasa selama 10 bulan. Berpuasa selama 6 hari di bulan Syawal pula sama dengan 60 hari (2 bulan) berpuasa. Oleh sebab itulah, mereka yang berpuasa 1 bulan di bulan Ramadhan, kemudian berpuasa selama 6 hari di bulan Syawal akan mendapat pahala puasa seperti setahun penuh. Subhanallah.
“Maukah aku tunjukkan padamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai,…” – Hadith Riwayat Tirmidzi
Seperti yang kita tahu, puasa juga adalah perisai seorang muslim dari maksiat semasa dia di dunia, dan merupakan perisainya dari api neraka di akhirat nanti.
Antara hikmah2 berpuasa 6 hari di bulan Syawal;
Pelengkap dari puasa Ramadhan
Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah pelengkap dan penyempurna pahala dari puasa setahun penuh. Penyempurna dari kekurangan, membawa maksud, walaupun hukumnya sunat, pada hari Kiamat nanti perbuatan2 fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan2 sunat ini. Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis Qudsi – “Dan senantiasa hamba Ku mendekatkan diri kepada Ku dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya.” (Hadith Riwayat Bukhari)
Menyediakan sistem pencernaan
Selama sebulan sistem pencernaan kita berehat pada waktu siang. Kedatangan bulan Syawal boleh mendatangkan kejutan bagi sistem pencernaan kita, tambahan apabila disajikan dengan pelbagai juadah di dalam pelbagai majlis yang biasa masyarakat kita lakukan di bulan Syawal ini. Maka, puasa 6 ini memberi peluang kepada sistem pencernaan kita yang telah direhatkan tadi untuk bertugas secara beransur-ansur.
Amalan Ramadhan tidak terputus
Antara manfaat lain berpuasa 6 adalah segala amal yang dilakukan oleh seseorang itu di dalam bulan Ramadhan, untuk mendekatkan diri-Nya dengan Allah, tidak akan terputus setelah berlalunya bulan Ramadhan yang mulia ini, selama seseorang itu masih hidup. Ini juga mengajar kita untuk beribadat secara istiqamah dan berpanjangan. Menyusuri daripada kata2 para cerdik pandai – “Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya.”
Tanda syukur rahmat bulan Ramadhan
Berpuasa di bulan Ramadhan mendatangkan maghrifah atas dosa-dosa masa lalu. Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan akan menerima ‘ganjaran’ di bulan Syawal – maka berpuasa di bulan Syawal adalah seperti tanda mensyukuri ganjaran yang diterima ini. Ia juga sebagai tanda syukur atas segala nikmat, pertolongan dan pengampunan yang telah diberikan oleh-Nya dalam bulan Ramadhan. Dan atas rasa cintanya terhadap ibadah puasa di bulan Ramadhan, ia tidak merasa bosan, berat atau jenuh apalagi benci berpuasa Ramadhan – lantas meneruskannya dengan berpuasa lagi selama 6 hari di bulan Syawal.
Namun, bagi mereka yang mempunyai hutang berpuasa di bulan Ramadhan, haruslah menyudahkannya dahulu sebelum memulakan berpuasa 6 ini. Ini kerana barangsiapa yang berpuasa Syawal terlebih dahulu dan masih ada tanggungan puasa Ramadhan, maka puasanya itu hanya dianggap puasa sunat muthlaq (puasa sunnah biasa) dan tidak mendapatkan ganjaran puasa Syawal. Ini kerana berbalik kepada sabda Rasulullah s.a.w tadi, “Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan…”
Membiasakan puasa setelah Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan, karena apabila Allah Ta'ala menerima amal seseorang hamba, pasti Dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik setelahnya. Sebagian orang bijak mengatakan, "Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya." Oleh karena itu barangsiapa mengerjakan kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda atas terkabulnya amal pertama. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan sesuatu kebaikan lalu diikuti dengan yang buruk, maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yang pertama.
Langgan:
Catatan (Atom)