Selasa, 12 April 2011

10 Amalan Sia-sia


10 amalan yang sia-sia

Sufyan ats-Tsauri, seorang sufi dan ulama hadis yang terkemuka, menyatakan bahawa ada sepuluh hal yang termasuk dalam kategori sia-sia, iaitu:-


1. Laki-laki atau wanita yang berdoa untuk dirinya sendiri, tapi tidak dimohonkannya doa untuk ibu-bapanya sendiri dan kaum Muslimin.

2. Orang yang kerapkali membaca Al Quran, tapi tidak membaca secara tertib sampai seratus ayat tiap-tiap hari.

3. Laki-laki yang masuk ke dalam masjid, kemudian ia keluar kembali dari masjid itu tanpa mengerjakan solat tahiyatul-masjid.

4. Orang-orang yang melalui tanah perkuburan, tapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan arwah-arwah mereka.

5. Laki-laki yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian ia keluar lagi dari kota itu tanpa mengerjakan solat Jumaat berjemaah.

6. Laki-laki atau wanita yang tinggal di suatu lingkungan dengan seorang ulama, tapi dia tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.

7. Dua orang laki-laki yang bersahabat, tapi mereka tidak saling menanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.

8. Laki-laki yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamunya itu.

9. Pemuda yang menjadikan zaman mudanya berlalu begitu saja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.

10. Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang ia sendiri makan kekenyangan di dalam rumahnya


Ahad, 10 April 2011


Sepuluh Akhlak Karimah 
1.  Rasa malu kerana berbuat salah, seperti rasa malu Nabi Adam ‘alaihissalam yang melarikan diri dari Allah SWT saat di syurga. Ketika Allah SWT bertanya , “Mengapa kamu melarikan dirimu dariKu wahai Adam?” Adam menjawab, “Tidak wahai Rabbku, melainkan kerana rasa malu terhadap engkau”.

2.  Rasa malu kerana kekurangan diri (kelemahan dan rasa serba tidak sempurna), seperti rasa malu para malaikat yang membuatkan mereka senantiasa bertasbih kepada Allah SWT siang dan malam bahkan tanpa sesaat pun tanpa tasbih, namun demikian pada hari kiamat kelak mereka berkata, “Mahasuci Engkau ya Allah, kami belum dapat menyembahMu dengan sebenar-benar penyembahan.”

3.  Rasa malu kerana pengagungan atau dikenali juga sebagai rasa malu kerana memiliki makrifah kepada Allah (mengenal Allah lalu mengagungkanNya). Ketahuilah wahai sahabat sekalian bahawasanya sejauh mana makrifah seseorang hamba terhadap Rabbnya maka sejauh itu pula rasa malunya terhadap Allah SWT.
 
4.  Rasa malu kerana kehalusan budi seperti rasa malu Rasulullah SAW saat mengundang orang ramai pada acara walimah Saidatuna Zainab ra. Kerana mereka tidak segera pulang, Baginda bangkit dari duduknya dan merasa malu untuk mengatakan kepada mereka, “Pulanglah kalian”.

5.  Rasa malu kerana menjaga kesopanan, seperti rasa malu Ali ibn Abi Talib ketika hendak meminta baju besi kepada Rasulullah SAW kerana dia adalah suami kepada Puteri Rasulullah SAW.


6.  Rasa malu kerana merasa diri terlalu hina seperti rasa malu seorang hamba yang memohon bermacam-macam keperluan kepada Allah SWT dengan menganggap bahawa ia adalah hamba yang terlalu hina di hadapan Allah SWT atas banyaknya hajat dan keperluannya kepada Allah SWT.

7.  Rasa malu kerana cinta, iaitu rasa malu orang yang mencintai di hadapan kekasihnya bahkan ketika terlintas di dalam fikirannya saat berjauhan dengan kekasihnya, dia tetap merasa malu tanpa diketahui apa sebabnya, apalagi jika kekasihnya muncul secara tiba-tiba di hadapannya.
 
8.  Rasa malu kerana ubudiyah, yakni rasa malu yang bercampur dengan cinta dan rasa takut. Seorang hamba yang merasa ubudiyahnya masih kurang, sementara kekuasaan Yang Disembah terlalu Agung, sehingga ubudiyahnya yang kurang dan cacat serta tidak sempurna itu membuatnya rasa malu. 

9.  Rasa malu kerana kemuliaan, yakni rasa malu seorang hamba yang memiliki jiwa agung tatkala berbuat baik atau memberikan sesuatu kepada orang lain. Sekalipun dia sudah terkorban dengan mengeluarkan sesuatu namun dia merasakan kekurangan dalam berbuat baik.

10. Rasa malu terhadap diri sendiri, yakni rasa malu seseorang yang memiliki jiwa besar dan mulia andaikata dia memiliki rasa redha dengan kekurangan diri sendiri dan merasa puas pula melihat kekurangan orang selain dia. Dia merasa malu terhadap dirinya sendiri sehingga seakan dia memiliki dua jiwa, yang satu merasa malu terhadap yang lainnya. Ini merupakan rasa malu yang paling sempurna. Sebab, jika seorang hamba merasa malu terhadap dirinya sendiri maka dia lebih layak untuk merasa malu terhadap orang lain.

Allahumma, kurniakan kami hakikat rasa malu seperti yang Engkau kehendaki.

Sabtu, 9 April 2011

Kenderaan yang tidak kelihatan


Kenderaan yang tidak kelihatan
Ibrahim bin Adham keluar dari negerinya untuk menunaikan haji dengan berjalan kaki. Dalam perjalanan, seorang lelaki yang menunggang untanya bertemu dengan Ibrahim lantas menegurnya:


“Tuan hendak ke mana?”
Ibrahim menjawab:
“Saya hendak pergi menunaikan haji”
“Mana kenderaan tuan? Perjalanannya sangat jauh!”
”Aku mempunyai banyak kenderaan yang kamu tidak Nampak”
”Apa dia?”

Ibrahim menjelaskan:
“Apabila aku ditimpa musibah, aku menaiki kenderaan SABAR”
“Apabila aku diberi ni’mat, aku menaiki kenderaan SYUKUR”
“Apabila berlaku ke atasku qadha’ dan qadar, aku menaiki kenderaan REDHA!”

Lelaki itupun berkata:
“Berjalanlah tuan dengan iringan keberkatan dari Allah. Sesungguhnya tuanlah yang sebenarnya menaiki kenderaan sedangkan aku orang yang berjalan kaki”.

Jumaat, 8 April 2011

Peringkat Riak


Peringkat Riak
1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.
2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.  
3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal. 
4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

Melindungi diri dari penyakit Riak
Sesungguhnya penyakit yang paling besar serta mematikan yang menimpa hati manusia , serta dapat menjadikan amalan-amalan sia-sia, juga merosakkan seluruh perbuatan manusia serta melahirkan kekerasan dan kekejian ialah Riak.
Riak adalah sebahagian dari perbuatan syirik menyekutukan Allah, dan sikap ini bersatu dalam diri orang yang takabbur. Banyak nas yang mencela sikap ini, antaranya;
Sabda Rasulullah S.a.w dalam hadith Haritsah bin Wahab, “Mahukah kalian aku beritahu tentang penghuni neraka, iaitu setiap orang yang berperangai jahat serta kasar,  orang gemuk yang berlebih-lebihan dalam berjalannya dan orang-orang yang sombong.” Hadith Riwayat Bukhari
Dan dari Ibnu Mas’ud dari Nabi S.a.w, baginda bersabda, “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji zarah (atom) sekalipun.” Hadith Riwayat Muslim

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata, seseorang yang melakukan Riak pada hakikatnya ia tidak melakukan firman Allah  (Hanya kepadaMu aku menyembah)  dan orang yang bersikap ujub (bangga pada diri sendiri) pada hakikatnya ia tidak melakukan firman Allah   (Hanya kepadaMu kami mohon pertolongan) . Dan barangsiapa yang melakukan firman Allah (Hanya kepadamu kami menyembah) maka ia telah keluar dari sikap Riak, dan barangsiapa yang melaksanakan firman Allah (Hanya kepadaMu kami mohon pertolongan) maka ia telah keluar dari sikap ujub.  (Majmu’ Al Fatawa  10/277)
Dan Ibnul Qayyim pula berkata, “Sesungguhnya hati manusia dihadapi oleh dua macam penyakit yang amat besar jika orang itu tidak menyedari adanya kedua penyakit itu akan melemparkan dirinya ke dalam kehancuran dan itu  adalah pasti, kedua penyakit itu adalah Riak dan takabbur.  Maka ubat kepada riak ialah (Hanya kepadaMu kami menyembah)  dan ubat dari penyakit takabbur ialah (Hanya kepadaMu kami memohon pertolongan)”.  (Madarijus Salikin  1/54)
Sesuatu Yang Disangka Sebagai Riak, Tetapi Sebenarnya Bukan Riak Dari Abu Zar r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. ditanya: “Bagaimanakah pendapat Tuan perihal seseorang lelaki yang mengerjakan suatu amalan yang baik dan ia mendapatkan pujian dari orang ramai kerana amalannya itu?” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Yang sedemikian itulah kegembiraan seorang mu’min yang diterima secara segera – yakni ketika di dunia sudah dapat merasakan kenikmatannya. (Riwayat Muslim)

Riak syirik kecil

Riak - syirik kecil
Bismillah … Riak / menunjuk-nunjuk adalah antara perangai manusia yang sukar dikesan dengan pancaindera luaran , melainkan mudah dikesan dengan pancaindera dalaman (hati). Walaupun begitu kita tidak digalakkan untuk memandang buruk kepada orang lain dan menuduhnya riak, bahkan kita sendiri yang mesti memperingati diri kita agar JANGAN bersikap riak dalam apa soal pun terutamanya dalam hal-hal agama dan amal ibadat.

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. orang-orang yang berbuat Riak.” Surah Al maa’un : Ayat 4 – 6
Riak berasal dari perkataan arab iaitu ‘ro’a’ yang bermaksud melihat. Maka Riak pula bermakna memperlihatkan. Dan dalam istilah Islam pula bermakna menunjuk-nunjuk dalam melakukan sesuatu amalan, beramal kerana mengharapkan sesuatu balasan duniawi, yang dilakukan secara tidak ikhlas dan penuh kepalsuan.

Riak berlaku hasil dari hati yang TIDAK IKHLAS. Iblis dan Syaitan menjalankan kerja-kerja menghiasi amalan-amalan kita dengan sifat Riak agar kita mudah menjadi terkenal dengan habuan dunia yang menyeronokkan dan sementara. Itulah di antara janji-janji Iblis yang penuh dengan kepalsuan.

Riak terbahagi kepada dua iaitu Riak Khusus dan Riak bercampur.
Riak khusus ialah berkehendakkan manfaat dunia semata-mata dari amalan yang dikerjakan, manakala Riak bercampur ialah berkehendakkan manfaat dunia dan akhirat.
Mengikut qaul (kata-kata) yang terpilih, tiada kadar tertentu terbatalnya pahala akibat Riak itu. Yang jelas, Riak itu mengakibatkan pahala tidak diterima, ditolak terus atau dikurangkan pahalanya.

Diriwayatkan, apabila hamba Allah yang riak menuntut pahala amalannya pada hari Kiamat, Allah Taala lalu berfirman: “Tidakkah Aku luaskan untukmu tempat kedudukanmu di majlis-majlis? Tidakkah Aku jadikan engkau pemimpin manusia di dunia? Tidakkah Aku murahkan (permudahkan) urusan perniagaanmu? Apakah kamu tidak dimuliakan?”
Riwayat ini bermaksud, tuntutan pahala daripada hamba Allah itu tidak diperkenankan, kerana amalannya tidak ikhlas. Cukuplah untuk dia mendapat manfaat dunia yang menjadi matlamatnya.
Diriwayatkan lagi, bahawa malaikat membawa naik ke langit amalan hamba Allah dengan sukacitanya. Tetapi Allah berfirman:
“Lemparkan amalan itu ke neraka Sijjin. Sesungguhnya dia (hamba Allah itu) mengerjakan amalan itu bukan kerana-Ku”.
Mengikut riwayat yang lain: Pada hari Kiamat, kedengaran seruan yang dapat didengar oleh semua makhluk, “Hai, orang-orang yang menyembah manusia! Berdirilah kamu, ambillah pahala daripada orang yang kerananya kamu kerjakan amalan kamu itu. Aku tidak menerima amalan yang dikaitkan dengan yang lain daripada-Ku”.
Seterusnya diriwayatkan lagi, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya syurga itu berbicara, katanya, ‘Aku ini haram bagi setiap orang yang bakhil, riak, pengadu-domba dan pendengki”.

Mengikut Imam al-Ghazali: “Bakhil dalam Hadis tersebut membawa maksud, bakhil yang sejahat-jahat bakhil, iaitu bakhil daripada mengucapkan La ilaha illallah, Muhammadun Rasulullah. Manakala Riak itu pula ialah sejahat-jahat Riak, iaitu Riak orang munafik, menunjuk-nunjuk imannya dan tauhidnya dengan kata-kata dan perbuatan, tetapi di dalam hatinya berlainan.

Orang yang tidak mengatasi bakhil dan Riak tersebut atau tidak membebaskan diri daripada serangan kedua-duanya, akan menerima kecelakaan dan akan terjatuh dalam kekufuran, lalu terluput daripada syurga dan berhak kekal dalam neraka”.
Dalam satu riwayat yang panjang, Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah bersabda, bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari Kiamat ialah:
  • lelaki yang membaca / menghafaznya al-Quran,
  • lelaki yang banyak harta,
  • lelaki yang terkorban dalam perang sabil.


Kepada lelaki yang membaca / menghafaz al-Quran, Allah Taala berfirman, “Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?”.
Apabila lelaki itu menjawab, “Ya, wahai Tuhanku”, Allah berfirman lagi, “Apa yang engkau amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam al-Qur’an itu?”.
Jika lelaki itu berbohong, Allah berfirman kepadanya, “Engkau dusta!”. Para Malaikat juga turut berkata demikian. “Engkau sebenarnya mahukan sebutan / pujian orang. Sesungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran untukmu”.
Kepada orang kaya pula Allah berfirman, “Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?”.
Jawab orang kaya, “Ya, wahai Tuhanku”. Lalu Allah berfirman lagi, “Apakah yang engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu?”.
Jika orang kaya itu menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat. “Engkau berdusta! Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!”.
Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil, apabila dia berbohong dengan mengatakan, “Engkau perintah kami berjihad fi sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku dibunuh”.

Ibnu ‘Abbas pula meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,“Sesungguhnya neraka dan penghuninya menjerit-jerit kerana orang-orang Riak”.
Ibnu ‘Abbas bertanya, “Kenapa mereka menjerit, ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab, “Kerana terlalu panas api yang digunakan untuk menyeksa orang-orang riak”.

Orang yang mengerjakan amal kebajikan kerana berkehendakkan manfaat dunia, walaupun manfaat itu diharapkan daripada Allah (bukan daripada manusia) adalah juga termasuk dalam riak, iaitu riak khusus.
Menurut ulama, “riak” itu adalah berdasarkan apa yang dikehendaki, bukan daripada siapa kehendak itu diminta. Tak kira, sama ada daripada Allah Taala atau daripada manusia, jika manfaat dunia yang dikehendaki, maka itu dikira riak. Habuannya hanyalah di dunia semata-mata. Oleh sebab itu Rasulullah S.a.w memberi amaran bahawa riak itu merupakan SYIRIK yang terkecil.

Firman Allah Taala, mafhumnya: “Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” Surah As Syuura : Ayat 20
Jika manfaat dunia yang dikehendaki untuk dijadikan bekalan beribadat, maka itu tidak dikira riak, kerana manfaat itu bukan bersifat duniawi semata-mata, tetapi bercampur dengan manfaat ukhrawi.
Jadi, niat untuk mencapai matlamat kebajikan ke jalan akhirat bukan dikira Riak. Umpamanya, kita berusaha mencari pengaruh atau berusaha untuk mendapat penghormatan orang ramai dengan cara meninggikan taraf hidup kita, semata-mata dengan tujuan agar kerja kebajikan kita, misalnya kegiatan dakwah, mendapat sokongan dan sambutan yang akan mendatangkan hasil yang diharapkan atau mendapat kejayaan yang cemerlang.
Hal seperti itu dikatakan sebagai usaha untuk mencapai matlamat kebajikan (untuk akhirat), kecuali jika pengaruh dan penghormatan itu untuk memperolehi kemuliaan, kebesaran, kemasyhuran, kemegahan dan keadaan yang bersifat duniawi yang lainnya.

Isnin, 4 April 2011

Sifat-sifat Nabi Muhammad SAW


Majlisnya (Nabi Muhammad Salallahhu Alaihi Wassalam)

Berkata Al-Hasan ra. lagi: Saya lalu bertanya pula tentang majlis Nabi SAW dan bagaimana caranya ? Jawabnya: Bahawa Rasulullah SAW tidak duduk dalam sesuatu majlis, atau bangun daripadanya, melainkan dia berzikir kepada Allah SWT Dia tidak pernah memilih tempat yang tertentu, dan melarang orang meminta ditempatkan di suatu tempat yang tertentu. Apabila dia sampai kepada sesuatu tempat, di situlah dia duduk sehingga selesai majlis itu dan dia menyuruh membuat seperti itu. Bila berhadapan dengan orang ramai diberikan pandangannya kepada semua orang dengan sama rata, sehingga orang-orang yang berada di majlisnya itu merasa tiada seorang pun yang diberikan penghormatan lebih darinya.
Bila ada orang yang datang kepadanya kerana sesuatu keperluan, atau sesuatu maslahat, dia terus melayaninya dengan penuh kesabaran hinggalah orang itu bangun dan kembali. Dia tidak pemah menghampakan orang yang meminta daripadanya sesuatu keperluan, jika ada diberikan kepadanya, dan jika tidak ada dijawabnya dengan kata-kata yang tidak mengecewakan hatinya. Budi pekertinya sangat baik, dan perilakunya sungguh bijak. Dia dianggap semua orang seperti ayah, dan mereka dipandang di sisinya semuanya sama dalam hal kebenaran , tidak berat sebelah. Majlisnya semuanya ramah-tamah, segan-silu, sabar menunggu, amanah, tidak pemah terdengar suara yang tinggi, tidak dibuat padanya segala yang dilarangi, tidak disebut yang jijik dan buruk, semua orang sama kecuali dengan kelebihan taqwa, semuanya merendah diri, yang tua dihormati yang muda, dan yang muda dirahmati yang tua, yang perlu selalu diutamakan, yang asing selalu didahulukan.
Ketika bersama sahabat-sahabatnya
Berkata Al-Hasan ra. lagi: Saya pun lalu menanyakan tentang kelakuan Rasulullah SAW pada orang-orang yang selalu duduk-duduk bersama-sama dengannya? Jawabnya: Adalah Rasulullah SAW selalu periang orangnya, pekertinya mudah dilayan, selalu berlemah-lembut, tidak keras atau bengis, tidak kasar atau suka berteriak-teriak, kata-katanya tidak kotor, tidak banyak bergurau atau beromong kosong segera melupakan apa yang tiada disukainya, tidak pernah mengecewakan orang yang berharap kepadanya, tidak suka menjadikan orang berputus asa. Sangat jelas dalam perilakunya tiga perkara yang berikut. Dia tidak suka mencela orang dan memburukkannya. Dia tidak suka mencari-cari keaiban orang dan tidak berbicara mengenai seseorang kecuali yang mendatangkan faedah dan menghasilkan pahala.
Apabila dia berbicara, semua orang yang berada dalam majlisnya memerhatikannya dengan tekun seolah-olah burung sedang tertengger di atas kepala mereka. Bila dia berhenti berbicara, mereka baru mula berbicara, dan bila dia berbicara pula, semua mereka berdiam seribu bahasa. Mereka tidak pernah bertengkar di hadapannya. Dia tertawa bila dilihatnya mereka tertawa, dan dia merasa takjub bila mereka merasa takjub. Dia selalu bersabar bila didatangi orang badwi yang seringkali bersifat kasar dan suka mendesak ketika meminta sesuatu daripadanya tanpa mahu mengalah atau menunggu, sehingga terkadang para sahabatnya merasa jengkel dan kurang senang, tetapi dia tetap menyabarkan mereka dengan berkata: “Jika kamu dapati seseorang yang perlu datang, hendaklah kamu menolongnya dan jangan mengherdiknya!”. Dia juga tidak mengharapkan pujian daripada siapa yang ditolongnya, dan kalau mereka mahu memujinya pun, dia tidak menggalakkan untuk berbuat begitu. Dia tidak pernah memotong bicara sesiapa pun sehingga orang itu habis berbicara, lalu barulah dia berbicara, atau dia menjauh dari tempat itu.
Ketika diamnya
Berkata Al-Hasan r.a. lagi: Saya pun menanyakan pula tentang diamnya, bagaimana pula keadaannya? Jawabnya: Diam Rasulullah SAW bergantung kepada mempertimbangkan empat hal, iaitu: Kerana adab sopan santun, kerana berhati-hati, kerana mempertimbangkan sesuatu di antara manusia, dan kerana bertafakkur. Adapun sebab pertimbangannya ialah kerana persamaannya dalam pandangan dan pendengaran di antara manusia. Adapun tentang tafakkurnya ialah pada apa yang kekal dan yang binasa. Dan terkumpul pula dalam peribadinya sifat-sifat kesantunan dan kesabaran.
Tidak ada sesuatu yang boleh menyebabkan dia menjadi marah, ataupun menjadikannya membenci. Dan terkumpul dalam peribadinya sifat berhati-hati dalam empat perkara, iaitu: Suka membuat yang baik-baik dan melaksanakannya untuk kepentingan ummat dalam hal-ehwal mereka yang berkaitan dengan dunia mahupun akhirat, agar dapat dicontohi oleh yang lain. Dia meninggalkan yang buruk, agar dijauhi dan tidak dibuat oleh yang lain. Bersungguh-sungguh mencari jalan yang baik untuk maslahat ummatnya, dan melakukan apa yang dapat mendatangkan manfaat buat ummatnya, baik buat dunia ataupun buat akhirat.
(Nukilan Thabarani – Majma’uz-Zawa’id 8:275)