Sabtu, 9 April 2011

Kenderaan yang tidak kelihatan


Kenderaan yang tidak kelihatan
Ibrahim bin Adham keluar dari negerinya untuk menunaikan haji dengan berjalan kaki. Dalam perjalanan, seorang lelaki yang menunggang untanya bertemu dengan Ibrahim lantas menegurnya:


“Tuan hendak ke mana?”
Ibrahim menjawab:
“Saya hendak pergi menunaikan haji”
“Mana kenderaan tuan? Perjalanannya sangat jauh!”
”Aku mempunyai banyak kenderaan yang kamu tidak Nampak”
”Apa dia?”

Ibrahim menjelaskan:
“Apabila aku ditimpa musibah, aku menaiki kenderaan SABAR”
“Apabila aku diberi ni’mat, aku menaiki kenderaan SYUKUR”
“Apabila berlaku ke atasku qadha’ dan qadar, aku menaiki kenderaan REDHA!”

Lelaki itupun berkata:
“Berjalanlah tuan dengan iringan keberkatan dari Allah. Sesungguhnya tuanlah yang sebenarnya menaiki kenderaan sedangkan aku orang yang berjalan kaki”.

Jumaat, 8 April 2011

Peringkat Riak


Peringkat Riak
1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.
2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.  
3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal. 
4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

Melindungi diri dari penyakit Riak
Sesungguhnya penyakit yang paling besar serta mematikan yang menimpa hati manusia , serta dapat menjadikan amalan-amalan sia-sia, juga merosakkan seluruh perbuatan manusia serta melahirkan kekerasan dan kekejian ialah Riak.
Riak adalah sebahagian dari perbuatan syirik menyekutukan Allah, dan sikap ini bersatu dalam diri orang yang takabbur. Banyak nas yang mencela sikap ini, antaranya;
Sabda Rasulullah S.a.w dalam hadith Haritsah bin Wahab, “Mahukah kalian aku beritahu tentang penghuni neraka, iaitu setiap orang yang berperangai jahat serta kasar,  orang gemuk yang berlebih-lebihan dalam berjalannya dan orang-orang yang sombong.” Hadith Riwayat Bukhari
Dan dari Ibnu Mas’ud dari Nabi S.a.w, baginda bersabda, “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji zarah (atom) sekalipun.” Hadith Riwayat Muslim

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata, seseorang yang melakukan Riak pada hakikatnya ia tidak melakukan firman Allah  (Hanya kepadaMu aku menyembah)  dan orang yang bersikap ujub (bangga pada diri sendiri) pada hakikatnya ia tidak melakukan firman Allah   (Hanya kepadaMu kami mohon pertolongan) . Dan barangsiapa yang melakukan firman Allah (Hanya kepadamu kami menyembah) maka ia telah keluar dari sikap Riak, dan barangsiapa yang melaksanakan firman Allah (Hanya kepadaMu kami mohon pertolongan) maka ia telah keluar dari sikap ujub.  (Majmu’ Al Fatawa  10/277)
Dan Ibnul Qayyim pula berkata, “Sesungguhnya hati manusia dihadapi oleh dua macam penyakit yang amat besar jika orang itu tidak menyedari adanya kedua penyakit itu akan melemparkan dirinya ke dalam kehancuran dan itu  adalah pasti, kedua penyakit itu adalah Riak dan takabbur.  Maka ubat kepada riak ialah (Hanya kepadaMu kami menyembah)  dan ubat dari penyakit takabbur ialah (Hanya kepadaMu kami memohon pertolongan)”.  (Madarijus Salikin  1/54)
Sesuatu Yang Disangka Sebagai Riak, Tetapi Sebenarnya Bukan Riak Dari Abu Zar r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. ditanya: “Bagaimanakah pendapat Tuan perihal seseorang lelaki yang mengerjakan suatu amalan yang baik dan ia mendapatkan pujian dari orang ramai kerana amalannya itu?” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Yang sedemikian itulah kegembiraan seorang mu’min yang diterima secara segera – yakni ketika di dunia sudah dapat merasakan kenikmatannya. (Riwayat Muslim)

Riak syirik kecil

Riak - syirik kecil
Bismillah … Riak / menunjuk-nunjuk adalah antara perangai manusia yang sukar dikesan dengan pancaindera luaran , melainkan mudah dikesan dengan pancaindera dalaman (hati). Walaupun begitu kita tidak digalakkan untuk memandang buruk kepada orang lain dan menuduhnya riak, bahkan kita sendiri yang mesti memperingati diri kita agar JANGAN bersikap riak dalam apa soal pun terutamanya dalam hal-hal agama dan amal ibadat.

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. orang-orang yang berbuat Riak.” Surah Al maa’un : Ayat 4 – 6
Riak berasal dari perkataan arab iaitu ‘ro’a’ yang bermaksud melihat. Maka Riak pula bermakna memperlihatkan. Dan dalam istilah Islam pula bermakna menunjuk-nunjuk dalam melakukan sesuatu amalan, beramal kerana mengharapkan sesuatu balasan duniawi, yang dilakukan secara tidak ikhlas dan penuh kepalsuan.

Riak berlaku hasil dari hati yang TIDAK IKHLAS. Iblis dan Syaitan menjalankan kerja-kerja menghiasi amalan-amalan kita dengan sifat Riak agar kita mudah menjadi terkenal dengan habuan dunia yang menyeronokkan dan sementara. Itulah di antara janji-janji Iblis yang penuh dengan kepalsuan.

Riak terbahagi kepada dua iaitu Riak Khusus dan Riak bercampur.
Riak khusus ialah berkehendakkan manfaat dunia semata-mata dari amalan yang dikerjakan, manakala Riak bercampur ialah berkehendakkan manfaat dunia dan akhirat.
Mengikut qaul (kata-kata) yang terpilih, tiada kadar tertentu terbatalnya pahala akibat Riak itu. Yang jelas, Riak itu mengakibatkan pahala tidak diterima, ditolak terus atau dikurangkan pahalanya.

Diriwayatkan, apabila hamba Allah yang riak menuntut pahala amalannya pada hari Kiamat, Allah Taala lalu berfirman: “Tidakkah Aku luaskan untukmu tempat kedudukanmu di majlis-majlis? Tidakkah Aku jadikan engkau pemimpin manusia di dunia? Tidakkah Aku murahkan (permudahkan) urusan perniagaanmu? Apakah kamu tidak dimuliakan?”
Riwayat ini bermaksud, tuntutan pahala daripada hamba Allah itu tidak diperkenankan, kerana amalannya tidak ikhlas. Cukuplah untuk dia mendapat manfaat dunia yang menjadi matlamatnya.
Diriwayatkan lagi, bahawa malaikat membawa naik ke langit amalan hamba Allah dengan sukacitanya. Tetapi Allah berfirman:
“Lemparkan amalan itu ke neraka Sijjin. Sesungguhnya dia (hamba Allah itu) mengerjakan amalan itu bukan kerana-Ku”.
Mengikut riwayat yang lain: Pada hari Kiamat, kedengaran seruan yang dapat didengar oleh semua makhluk, “Hai, orang-orang yang menyembah manusia! Berdirilah kamu, ambillah pahala daripada orang yang kerananya kamu kerjakan amalan kamu itu. Aku tidak menerima amalan yang dikaitkan dengan yang lain daripada-Ku”.
Seterusnya diriwayatkan lagi, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya syurga itu berbicara, katanya, ‘Aku ini haram bagi setiap orang yang bakhil, riak, pengadu-domba dan pendengki”.

Mengikut Imam al-Ghazali: “Bakhil dalam Hadis tersebut membawa maksud, bakhil yang sejahat-jahat bakhil, iaitu bakhil daripada mengucapkan La ilaha illallah, Muhammadun Rasulullah. Manakala Riak itu pula ialah sejahat-jahat Riak, iaitu Riak orang munafik, menunjuk-nunjuk imannya dan tauhidnya dengan kata-kata dan perbuatan, tetapi di dalam hatinya berlainan.

Orang yang tidak mengatasi bakhil dan Riak tersebut atau tidak membebaskan diri daripada serangan kedua-duanya, akan menerima kecelakaan dan akan terjatuh dalam kekufuran, lalu terluput daripada syurga dan berhak kekal dalam neraka”.
Dalam satu riwayat yang panjang, Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah bersabda, bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari Kiamat ialah:
  • lelaki yang membaca / menghafaznya al-Quran,
  • lelaki yang banyak harta,
  • lelaki yang terkorban dalam perang sabil.


Kepada lelaki yang membaca / menghafaz al-Quran, Allah Taala berfirman, “Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?”.
Apabila lelaki itu menjawab, “Ya, wahai Tuhanku”, Allah berfirman lagi, “Apa yang engkau amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam al-Qur’an itu?”.
Jika lelaki itu berbohong, Allah berfirman kepadanya, “Engkau dusta!”. Para Malaikat juga turut berkata demikian. “Engkau sebenarnya mahukan sebutan / pujian orang. Sesungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran untukmu”.
Kepada orang kaya pula Allah berfirman, “Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?”.
Jawab orang kaya, “Ya, wahai Tuhanku”. Lalu Allah berfirman lagi, “Apakah yang engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu?”.
Jika orang kaya itu menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat. “Engkau berdusta! Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!”.
Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil, apabila dia berbohong dengan mengatakan, “Engkau perintah kami berjihad fi sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku dibunuh”.

Ibnu ‘Abbas pula meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,“Sesungguhnya neraka dan penghuninya menjerit-jerit kerana orang-orang Riak”.
Ibnu ‘Abbas bertanya, “Kenapa mereka menjerit, ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab, “Kerana terlalu panas api yang digunakan untuk menyeksa orang-orang riak”.

Orang yang mengerjakan amal kebajikan kerana berkehendakkan manfaat dunia, walaupun manfaat itu diharapkan daripada Allah (bukan daripada manusia) adalah juga termasuk dalam riak, iaitu riak khusus.
Menurut ulama, “riak” itu adalah berdasarkan apa yang dikehendaki, bukan daripada siapa kehendak itu diminta. Tak kira, sama ada daripada Allah Taala atau daripada manusia, jika manfaat dunia yang dikehendaki, maka itu dikira riak. Habuannya hanyalah di dunia semata-mata. Oleh sebab itu Rasulullah S.a.w memberi amaran bahawa riak itu merupakan SYIRIK yang terkecil.

Firman Allah Taala, mafhumnya: “Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” Surah As Syuura : Ayat 20
Jika manfaat dunia yang dikehendaki untuk dijadikan bekalan beribadat, maka itu tidak dikira riak, kerana manfaat itu bukan bersifat duniawi semata-mata, tetapi bercampur dengan manfaat ukhrawi.
Jadi, niat untuk mencapai matlamat kebajikan ke jalan akhirat bukan dikira Riak. Umpamanya, kita berusaha mencari pengaruh atau berusaha untuk mendapat penghormatan orang ramai dengan cara meninggikan taraf hidup kita, semata-mata dengan tujuan agar kerja kebajikan kita, misalnya kegiatan dakwah, mendapat sokongan dan sambutan yang akan mendatangkan hasil yang diharapkan atau mendapat kejayaan yang cemerlang.
Hal seperti itu dikatakan sebagai usaha untuk mencapai matlamat kebajikan (untuk akhirat), kecuali jika pengaruh dan penghormatan itu untuk memperolehi kemuliaan, kebesaran, kemasyhuran, kemegahan dan keadaan yang bersifat duniawi yang lainnya.

Isnin, 4 April 2011

Sifat-sifat Nabi Muhammad SAW


Majlisnya (Nabi Muhammad Salallahhu Alaihi Wassalam)

Berkata Al-Hasan ra. lagi: Saya lalu bertanya pula tentang majlis Nabi SAW dan bagaimana caranya ? Jawabnya: Bahawa Rasulullah SAW tidak duduk dalam sesuatu majlis, atau bangun daripadanya, melainkan dia berzikir kepada Allah SWT Dia tidak pernah memilih tempat yang tertentu, dan melarang orang meminta ditempatkan di suatu tempat yang tertentu. Apabila dia sampai kepada sesuatu tempat, di situlah dia duduk sehingga selesai majlis itu dan dia menyuruh membuat seperti itu. Bila berhadapan dengan orang ramai diberikan pandangannya kepada semua orang dengan sama rata, sehingga orang-orang yang berada di majlisnya itu merasa tiada seorang pun yang diberikan penghormatan lebih darinya.
Bila ada orang yang datang kepadanya kerana sesuatu keperluan, atau sesuatu maslahat, dia terus melayaninya dengan penuh kesabaran hinggalah orang itu bangun dan kembali. Dia tidak pemah menghampakan orang yang meminta daripadanya sesuatu keperluan, jika ada diberikan kepadanya, dan jika tidak ada dijawabnya dengan kata-kata yang tidak mengecewakan hatinya. Budi pekertinya sangat baik, dan perilakunya sungguh bijak. Dia dianggap semua orang seperti ayah, dan mereka dipandang di sisinya semuanya sama dalam hal kebenaran , tidak berat sebelah. Majlisnya semuanya ramah-tamah, segan-silu, sabar menunggu, amanah, tidak pemah terdengar suara yang tinggi, tidak dibuat padanya segala yang dilarangi, tidak disebut yang jijik dan buruk, semua orang sama kecuali dengan kelebihan taqwa, semuanya merendah diri, yang tua dihormati yang muda, dan yang muda dirahmati yang tua, yang perlu selalu diutamakan, yang asing selalu didahulukan.
Ketika bersama sahabat-sahabatnya
Berkata Al-Hasan ra. lagi: Saya pun lalu menanyakan tentang kelakuan Rasulullah SAW pada orang-orang yang selalu duduk-duduk bersama-sama dengannya? Jawabnya: Adalah Rasulullah SAW selalu periang orangnya, pekertinya mudah dilayan, selalu berlemah-lembut, tidak keras atau bengis, tidak kasar atau suka berteriak-teriak, kata-katanya tidak kotor, tidak banyak bergurau atau beromong kosong segera melupakan apa yang tiada disukainya, tidak pernah mengecewakan orang yang berharap kepadanya, tidak suka menjadikan orang berputus asa. Sangat jelas dalam perilakunya tiga perkara yang berikut. Dia tidak suka mencela orang dan memburukkannya. Dia tidak suka mencari-cari keaiban orang dan tidak berbicara mengenai seseorang kecuali yang mendatangkan faedah dan menghasilkan pahala.
Apabila dia berbicara, semua orang yang berada dalam majlisnya memerhatikannya dengan tekun seolah-olah burung sedang tertengger di atas kepala mereka. Bila dia berhenti berbicara, mereka baru mula berbicara, dan bila dia berbicara pula, semua mereka berdiam seribu bahasa. Mereka tidak pernah bertengkar di hadapannya. Dia tertawa bila dilihatnya mereka tertawa, dan dia merasa takjub bila mereka merasa takjub. Dia selalu bersabar bila didatangi orang badwi yang seringkali bersifat kasar dan suka mendesak ketika meminta sesuatu daripadanya tanpa mahu mengalah atau menunggu, sehingga terkadang para sahabatnya merasa jengkel dan kurang senang, tetapi dia tetap menyabarkan mereka dengan berkata: “Jika kamu dapati seseorang yang perlu datang, hendaklah kamu menolongnya dan jangan mengherdiknya!”. Dia juga tidak mengharapkan pujian daripada siapa yang ditolongnya, dan kalau mereka mahu memujinya pun, dia tidak menggalakkan untuk berbuat begitu. Dia tidak pernah memotong bicara sesiapa pun sehingga orang itu habis berbicara, lalu barulah dia berbicara, atau dia menjauh dari tempat itu.
Ketika diamnya
Berkata Al-Hasan r.a. lagi: Saya pun menanyakan pula tentang diamnya, bagaimana pula keadaannya? Jawabnya: Diam Rasulullah SAW bergantung kepada mempertimbangkan empat hal, iaitu: Kerana adab sopan santun, kerana berhati-hati, kerana mempertimbangkan sesuatu di antara manusia, dan kerana bertafakkur. Adapun sebab pertimbangannya ialah kerana persamaannya dalam pandangan dan pendengaran di antara manusia. Adapun tentang tafakkurnya ialah pada apa yang kekal dan yang binasa. Dan terkumpul pula dalam peribadinya sifat-sifat kesantunan dan kesabaran.
Tidak ada sesuatu yang boleh menyebabkan dia menjadi marah, ataupun menjadikannya membenci. Dan terkumpul dalam peribadinya sifat berhati-hati dalam empat perkara, iaitu: Suka membuat yang baik-baik dan melaksanakannya untuk kepentingan ummat dalam hal-ehwal mereka yang berkaitan dengan dunia mahupun akhirat, agar dapat dicontohi oleh yang lain. Dia meninggalkan yang buruk, agar dijauhi dan tidak dibuat oleh yang lain. Bersungguh-sungguh mencari jalan yang baik untuk maslahat ummatnya, dan melakukan apa yang dapat mendatangkan manfaat buat ummatnya, baik buat dunia ataupun buat akhirat.
(Nukilan Thabarani – Majma’uz-Zawa’id 8:275)

Khamis, 31 Mac 2011

Sifat-sifat Nabi Muhammad SAW

Keadaan Nabi Muhammad SAW di rumah


Berkata Al-Hasan ra. lagi: Aku juga pernah menanyakan ayahku tentang masuknya Rasulullah SAW lalu dia menjawab: Masuknya ke dalam rumahnya bila sudah diizinkan khusus baginya, dan apabila dia berada di dalam rumahnya dibahagikan masanya tiga bahagian. Satu bahagian khusus untuk Allah ta’ala, satu bahagian untuk isteri-isterinya, dan satu bahagian lagi untuk dirinya sendiri. Kemudian dijadikan bahagian untuk dirinya itu terpenuh dengan urusan di antaranya dengan manusia, dihabiskan waktunya itu untuk melayani semua orang yang awam mahupun yang khusus, tiada seorang pun dibezakan dari yang lain. Di antara tabiatnya ketika melayani ummat, dia selalu memberikan perhatiannya kepada orang-orang yang terutama untuk dididiknya, dilayani mereka menurut kelebihan diri masing-masing dalam agama.
Ada yang keperluannya satu ada yang dua, dan ada yang lebih dari itu, maka dia akan duduk dengan mereka dan melayani semua urusan mereka yang berkaitan dengan diri mereka sendiri dan kepentingan ummat secara umum, cuba menunjuki mereka apa yang perlu dan memberitahu mereka apa yang patut dilakukan untuk kepentingan semua orang dengan mengingatkan pula: “Hendaklah siapa yang hadir menyampaikan kepada siapa yang tidak hadir. Jangan lupa menyampaikan kepadaku keperluan orang yang tidak dapat menyampaikannya sendiri, sebab sesiapa yang menyampaikan keperluan orang yang tidak dapat menyampaikan keperluannya sendiri kepada seorang penguasa, nescaya Allah SWT akan menetapkan kedua tumitnya di hari kiamat”, tiada disebutkan di situ hanya hal-hal yang seumpama itu saja. Dia tidak menerima dari bicara yang lain kecuali sesuatu untuk maslahat ummatnya. Mereka datang kepadanya sebagai orang-orang yang berziarah, namun mereka tiada meninggalkan tempat melainkan dengan berisi. Dalam riwayat lain mereka tiada berpisah melainkan sesudah mengumpul banyak faedah, dan mereka keluar dari majlisnya sebagai orang yang ahli dalam hal-ehwal agamanya.
Keadaannya di luar rumah
Berkata Al-Hasan r.a. lagi: Kemudian saya bertanya tentang keadaannya di luar, dan apa yang dibuatnya? Jawabnya: Adalah Rasulullah SAW ketika di luar, senantiasa mengunci lidahnya, kecuali jika memang ada kepentingan untuk ummatnya. Dia selalu beramah-tamah kepada mereka, dan tidak kasar dalam bicaranya. Dia senantiasa memuliakan ketua setiap suku dan kaum dan meletakkan masing-masing di tempatnya yang layak. Kadang-kadang dia mengingatkan orang ramai, tetapi dia senantiasa menjaga hati mereka agar tidak dinampakkan pada mereka selain mukanya yang manis dan akhlaknya yang mulia.
Dia selalu menanyakan sahabat-sahabatnya bila mereka tidak datang, dan selalu bertanyakan berita orang ramai dan apa yang ditanggunginya. Mana yang baik dipuji dan dianjurkan, dan mana yang buruk dicela dan dicegahkan. Dia senantiasa bersikap pertengahan dalam segala perkara, tidak banyak membantah, tidak pernah lalai supaya mereka juga tidak suka lalai atau menyeleweng, semua perkaranya baik dan terjaga, tidak pernah meremehkan atau menyeleweng dari kebenaran, orang-orang yang senantiasa mendampinginya ialah orang-orang paling baik kelakuannya, yang dipandang utama di sampingnya, yang paling banyak dapat memberi nasihat, yang paling tinggi kedudukannya, yang paling bersedia untuk berkorban dan membantu dalam apa keadaan sekalipun.

Sifat-sifat Nabi Muhammad SAW

Fizikal Nabi Muhammad SAW

Telah dikeluarkan oleh Ya’kub bin Sufyan Al-Faswi dari Al-Hasan bin Ali ra. katanya: Pernah aku menanyakan bapa saudaraku (dari sebelah ibu) Hind bin Abu Halah, dan aku tahu dia memang sangat pandai mensifatkan perilaku Rasulullah SAW, padahal aku ingin sekali untuk disifatkan kepadaku sesuatu dari sifat beliau yang dapat aku mencontohinya, maka dia berkata: Adalah Rasulullah SAW itu seorang yang agung yang senantiasa diagungkan, wajahnya berseri-seri layak bulan di malam purnamanya, tingginya cukup tidak terlalu ketara, juga tidak terlalu pendek, dadanya bidang, rambutnya selalu rapi antara lurus dan bergelombang, dan memanjang hingga ke tepi telinganya, lebat, warnanya hitam, dahinya luas, alisnya lentik halus terpisah di antara keduanya, yang bila beliau marah kelihatannya seperti bercantum, hidungnya mancung, kelihatan memancar cahaya ke atasnya, janggutnya lebat, kedua belah matanya hitam, kedua pipinya lembut dan halus, mulutnya tebal, giginya putih bersih dan jarang-jarang.

Di dadanya tumbuh bulu-bulu yang halus, tengkuknya memanjang, berbentuk sederhana, berbadan besar lagi tegap, rata antara perutnya dan dadanya, luas dadanya, lebar antara kedua bahunya, tulang belakangnya besar, kulitnya bersih, antara dadanya dan pusatnya dipenuhi oleh bulu-bulu yang halus, pada kedua teteknya dan perutnya bersih dari bulu, sedang pada kedua lengannya dan bahunya dan di atas dadanya berbulu pula, lengannya panjang, telapak tangannya lebar, halus tulangnya, jari telapak kedua tangan dan kakinya tebal berisi daging, panjang ujung jarinya, rongga telapak kakinya tidak menyentuh tanah apabila beliau berjalan, dan telapak kakinya lembut serta licin tidak ada lipatan, tinggi seolah-olah air sedang memancar daripadanya, bila diangkat kakinya diangkatnya dengan lembut (tidak seperti jalannya orang menyombongkan diri), melangkah satu-satu dan perlahan-lahan, langkahnya panjang-panjang seperti orang yang melangkah atas jurang, bila menoleh dengan semua badannya, pandangannya sering ke bumi, kelihatan dia lebih banyak melihat ke arah bumi daripada melihat ke atas langit, jarang dia memerhatikan sesuatu dengan terlalu lama, selalu berjalan beriringan dengan sahabat-sahabatnya, selalu memulakan salam kepada siapa yang ditemuinya.
Kebiasaannya
Kataku pula: Sifatkanlah kepadaku mengenai kebiasaannya! Jawab bapa saudaraku: Adalah Rasulullah SAW itu kelihatannya seperti orang yang selalu bersedih, senantiasa banyak berfikir, tidak pernah beristirehat panjang, tidak berbicara bila tidak ada keperluan, banyak diamnya, memulakan bicara dan menghabiskannya dengan sepenuh mulutnva, kata-katanya penuh mutiara manikam, satu-satu kalimatnya, tidak berlebih-lebihan atau berkurang-kurangan, lemah lembut tidak terlalu kasar atau menghina diri, senantiasa membesarkan nikmat walaupun kecil, tidak pernah mencela nikmat apa pun atau terlalu memujinya, tiada seorang dapat meredakan marahnya, apabila sesuatu dari kebenaran dihinakan sehingga dia dapat membelanya.


Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa dia tidak menjadi marah kerana sesuatu urusan dunia atau apa-apa yang bertalian dengannya, tetapi apabila dia melihat kebenaran itu dihinakan, tiada seorang yang dapat melebihi marahnya, sehingga dia dapat membela kerananya. Dia tidak pernah marah untuk dirinya, atau membela sesuatu untuk kepentingan dirinya, bila mengisyarat diisyaratkan dengan semua telapak tangannya, dan bila dia merasa takjub dibalikkan telapak tangannya, dan bila berbicara dikumpulkan tangannya dengan menumpukan telapak tangannya yang kanan pada ibu jari tangan kirinya, dan bila dia marah dia terus berpaling dari arah yang menyebabkan ia marah, dan bila dia gembira dipejamkan matanya, kebanyakan ketawanya ialah dengan tersenyum, dan bila dia ketawa, dia ketawa seperti embun yang dingin.

Berkata Al-Hasan lagi: Semua sifat-sifat ini aku simpan dalam diriku lama juga. Kemudian aku berbicara mengenainya kepada Al-Husain bin Ali, dan aku dapati ianya sudah terlebih dahulu menanyakan bapa saudaraku tentang apa yang aku tanyakan itu. Dan dia juga telah menanyakan ayahku (Ali bin Abu Thalib ra.) tentang cara keluar beliau dan masuk beliau, tentang cara duduknya, malah tentang segala sesuatu mengenai Rasulullah SAW itu.