3 Serangkai
Di dalam ajaran Islam, secara umum ilmu-ilmu yang penting itu boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu :
1. Usuluddin (aqidah)
2. Feqah (syariat)
3. Tasauf (akhlak)
Dalam pengamalannya setiap orang Islam mestilah melaksanakan secara serentak ketiga-tiga ilmu tadi. Sama ada dari segi teori mahupun praktikal, atau dari segi ilmiah dan amalinya.
Tiga ilmu ini merupakan tiga serangkai yang tidak boleh dipisah-pisahkan . Kalau dipisah-pisahkan salah satu daripada 3 serangkai itu, maka akibatnya rosaklah yang lain-lainnya. Ertinya amalan Islam itu menjadi sah apabila ketiga-tiga ilmu tersebut dilaksanakan sekaligus dan serentak. Ia tidak boleh diamalkan satu-satu sahaja tanpa yang lain. Berfeqah sahaja atau berusuluddin sahaja atau berakhlak sahaja, tentu akan merosakkan keislaman seseorang. Jadi 3 serangkai ilmu ini tidak boleh dipisah-pisahkan dalam seluruh tindakan hidup. Kalau dipisah-pisahkan dalam pengamalan seharian, paling tidak seseorang itu akan jadi fasiq. Bahkan berkemungkinan ia akan jatuh kafir tanpa sedar.
Dari ketiga-tiga ilmu ini, tapak atau asasnya adalah ilmu usuluddin. Di atas tapak ilmu yang menjadi pegangan dan keyakinan setiap orang Islam itu, maka ditegakkan syariat (feqah) dan akhlak (tasawuf). Kalau diibaratkan kepada sebuah bangunan, usuluddin itu adalah asasnya. Bangunan rumah serta peralatan-peralatannya itulah syariat dan akhlak. Kalau begitu rumah dan peralatan rumah tersebut tidak dapat ditegakkan sekiranya asas rumah tersebut tidak ada atau tidak kukuh dan tidak kuat. Justeru itu dalam ajaran Islam :
1. Usuluddin itu adalah asas Islam atau tapak Islam
2. Syariat dan tasawuf ialah furudan cabang-cabangnya .
Kalau begitu, ilmu usuluddin dalam ajaran Islam amat penting dan utama. Kerana ia mengesahkan syariat dan akhlak. Syariat dan akhlak tidak ada nilai disisi Allah kalau aqidah atau usuluddin telah rosak. Perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu usuluddin adalah yang terkandung di dalam rukun iman yang meliputi 6 perkara tersebut.
Maka ilmu usuluddin yang menjadi asas kepada ajaran Islam merupakan ilmu yang paling penting. Ia menjadi perkara utama dan pertama untuk setiap individu Islam yang mukallaf mempelajarinya. Belajar ilmu usuluddin ini adalah fardhu ain yakni wajib bagi setiap individu yang mukallaf . Jatuh berdosa besar bagi orang yang tidak mempelajarinya. Hatta boleh jatuh kufur secar tidak sedar kalau jahil tentang ilmu ini.
Ilmu usuluddin yang berkait dengan ALLAH dan sifat-sifatNya kalau tidak dipelajari paling mudah untuk menyebabkan jatuh kepada kufur. Sebab itu dihukumkan wajib bagi setiap mukallaf mempelajarinya terlebih dahulu mendahului ilmu-ilmu lain. Dalam hadis Rasulullah SAW ada menyebut (terjemahannya) : Awal-awal agama ialah mengenal Allah. Oleh itu ilmu usuluddin ini tidak boleh dicuaikan daripada mempelajarinya. Supaya ia dapat dijadikan pegangan dan keyakinan yang mantap dan teguh dihati. Tanpa dicelahi oleh syak, zan dan waham. Sekiranya dicelahi oleh syak, zan dan waham atau salah satu darinya maka seluruh amal ibadah itu tidak sah atau tertolak. Ertinya tidak ada apa-apa disisi Allah. Amalan itu hanya sia-sia sahaja. Walau bagaimana baik dan kemas sekalipun ibadah yang dipersembahkan pada Allahs ekiranya dicelahi oleh salah satu daripadanya, maka ibadah itu akan dicampak semula kemuka pengamalnya.
Mengikut kebiasaan, walaupun cantik amalan syariat atau akhlak, ia masih tetap bergantung kepada aqidah. Sekiranya aqidahnya baik, maka baiklah syariat dan akhlaknya. Tetapi kalau aqidahnya rosak, maka rosaklah syariat dan akhlaknya. Ibaratnya seperti sebatang pokok. Kalau pokoknya subur, itu adalah kesan dari akar tunjangnya yang kuat tadi. Yang menjadikan ianya berdaun, menghijau, menghasilkan bunga yang cantik dan harum mewangi serta buah yang banyak lagi sedap dan manis rasanya. Sehingga mejadikan kepingin semua makhluk terutama manusia untuk mendekatinya dan bernaung di bawahnya serta mengambil manfaat darinya.
Begitulah juga bagi mereka yang akidahnya baik tentulah syariatnya jadi sempurna dan akhlaknya cantik. Semua hukum hakam yang lima yakni yang wajib dan sunat dapat ditegakkan, yang haram dan makruh dapat dijauhi, dan yang harus (mubah) terpulang, hingga ia mencorak hidup individu dan masyarakat. Alhasil kalau sudah ramai yang aqidahnya tepat dan kuat maka akan lahirlah negara yang aman dan makmur yang mendapat keampunan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan