Jumaat, 8 April 2011

Riak syirik kecil

Riak - syirik kecil
Bismillah … Riak / menunjuk-nunjuk adalah antara perangai manusia yang sukar dikesan dengan pancaindera luaran , melainkan mudah dikesan dengan pancaindera dalaman (hati). Walaupun begitu kita tidak digalakkan untuk memandang buruk kepada orang lain dan menuduhnya riak, bahkan kita sendiri yang mesti memperingati diri kita agar JANGAN bersikap riak dalam apa soal pun terutamanya dalam hal-hal agama dan amal ibadat.

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. orang-orang yang berbuat Riak.” Surah Al maa’un : Ayat 4 – 6
Riak berasal dari perkataan arab iaitu ‘ro’a’ yang bermaksud melihat. Maka Riak pula bermakna memperlihatkan. Dan dalam istilah Islam pula bermakna menunjuk-nunjuk dalam melakukan sesuatu amalan, beramal kerana mengharapkan sesuatu balasan duniawi, yang dilakukan secara tidak ikhlas dan penuh kepalsuan.

Riak berlaku hasil dari hati yang TIDAK IKHLAS. Iblis dan Syaitan menjalankan kerja-kerja menghiasi amalan-amalan kita dengan sifat Riak agar kita mudah menjadi terkenal dengan habuan dunia yang menyeronokkan dan sementara. Itulah di antara janji-janji Iblis yang penuh dengan kepalsuan.

Riak terbahagi kepada dua iaitu Riak Khusus dan Riak bercampur.
Riak khusus ialah berkehendakkan manfaat dunia semata-mata dari amalan yang dikerjakan, manakala Riak bercampur ialah berkehendakkan manfaat dunia dan akhirat.
Mengikut qaul (kata-kata) yang terpilih, tiada kadar tertentu terbatalnya pahala akibat Riak itu. Yang jelas, Riak itu mengakibatkan pahala tidak diterima, ditolak terus atau dikurangkan pahalanya.

Diriwayatkan, apabila hamba Allah yang riak menuntut pahala amalannya pada hari Kiamat, Allah Taala lalu berfirman: “Tidakkah Aku luaskan untukmu tempat kedudukanmu di majlis-majlis? Tidakkah Aku jadikan engkau pemimpin manusia di dunia? Tidakkah Aku murahkan (permudahkan) urusan perniagaanmu? Apakah kamu tidak dimuliakan?”
Riwayat ini bermaksud, tuntutan pahala daripada hamba Allah itu tidak diperkenankan, kerana amalannya tidak ikhlas. Cukuplah untuk dia mendapat manfaat dunia yang menjadi matlamatnya.
Diriwayatkan lagi, bahawa malaikat membawa naik ke langit amalan hamba Allah dengan sukacitanya. Tetapi Allah berfirman:
“Lemparkan amalan itu ke neraka Sijjin. Sesungguhnya dia (hamba Allah itu) mengerjakan amalan itu bukan kerana-Ku”.
Mengikut riwayat yang lain: Pada hari Kiamat, kedengaran seruan yang dapat didengar oleh semua makhluk, “Hai, orang-orang yang menyembah manusia! Berdirilah kamu, ambillah pahala daripada orang yang kerananya kamu kerjakan amalan kamu itu. Aku tidak menerima amalan yang dikaitkan dengan yang lain daripada-Ku”.
Seterusnya diriwayatkan lagi, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya syurga itu berbicara, katanya, ‘Aku ini haram bagi setiap orang yang bakhil, riak, pengadu-domba dan pendengki”.

Mengikut Imam al-Ghazali: “Bakhil dalam Hadis tersebut membawa maksud, bakhil yang sejahat-jahat bakhil, iaitu bakhil daripada mengucapkan La ilaha illallah, Muhammadun Rasulullah. Manakala Riak itu pula ialah sejahat-jahat Riak, iaitu Riak orang munafik, menunjuk-nunjuk imannya dan tauhidnya dengan kata-kata dan perbuatan, tetapi di dalam hatinya berlainan.

Orang yang tidak mengatasi bakhil dan Riak tersebut atau tidak membebaskan diri daripada serangan kedua-duanya, akan menerima kecelakaan dan akan terjatuh dalam kekufuran, lalu terluput daripada syurga dan berhak kekal dalam neraka”.
Dalam satu riwayat yang panjang, Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah bersabda, bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari Kiamat ialah:
  • lelaki yang membaca / menghafaznya al-Quran,
  • lelaki yang banyak harta,
  • lelaki yang terkorban dalam perang sabil.


Kepada lelaki yang membaca / menghafaz al-Quran, Allah Taala berfirman, “Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?”.
Apabila lelaki itu menjawab, “Ya, wahai Tuhanku”, Allah berfirman lagi, “Apa yang engkau amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam al-Qur’an itu?”.
Jika lelaki itu berbohong, Allah berfirman kepadanya, “Engkau dusta!”. Para Malaikat juga turut berkata demikian. “Engkau sebenarnya mahukan sebutan / pujian orang. Sesungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran untukmu”.
Kepada orang kaya pula Allah berfirman, “Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?”.
Jawab orang kaya, “Ya, wahai Tuhanku”. Lalu Allah berfirman lagi, “Apakah yang engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu?”.
Jika orang kaya itu menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat. “Engkau berdusta! Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!”.
Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil, apabila dia berbohong dengan mengatakan, “Engkau perintah kami berjihad fi sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku dibunuh”.

Ibnu ‘Abbas pula meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,“Sesungguhnya neraka dan penghuninya menjerit-jerit kerana orang-orang Riak”.
Ibnu ‘Abbas bertanya, “Kenapa mereka menjerit, ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab, “Kerana terlalu panas api yang digunakan untuk menyeksa orang-orang riak”.

Orang yang mengerjakan amal kebajikan kerana berkehendakkan manfaat dunia, walaupun manfaat itu diharapkan daripada Allah (bukan daripada manusia) adalah juga termasuk dalam riak, iaitu riak khusus.
Menurut ulama, “riak” itu adalah berdasarkan apa yang dikehendaki, bukan daripada siapa kehendak itu diminta. Tak kira, sama ada daripada Allah Taala atau daripada manusia, jika manfaat dunia yang dikehendaki, maka itu dikira riak. Habuannya hanyalah di dunia semata-mata. Oleh sebab itu Rasulullah S.a.w memberi amaran bahawa riak itu merupakan SYIRIK yang terkecil.

Firman Allah Taala, mafhumnya: “Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” Surah As Syuura : Ayat 20
Jika manfaat dunia yang dikehendaki untuk dijadikan bekalan beribadat, maka itu tidak dikira riak, kerana manfaat itu bukan bersifat duniawi semata-mata, tetapi bercampur dengan manfaat ukhrawi.
Jadi, niat untuk mencapai matlamat kebajikan ke jalan akhirat bukan dikira Riak. Umpamanya, kita berusaha mencari pengaruh atau berusaha untuk mendapat penghormatan orang ramai dengan cara meninggikan taraf hidup kita, semata-mata dengan tujuan agar kerja kebajikan kita, misalnya kegiatan dakwah, mendapat sokongan dan sambutan yang akan mendatangkan hasil yang diharapkan atau mendapat kejayaan yang cemerlang.
Hal seperti itu dikatakan sebagai usaha untuk mencapai matlamat kebajikan (untuk akhirat), kecuali jika pengaruh dan penghormatan itu untuk memperolehi kemuliaan, kebesaran, kemasyhuran, kemegahan dan keadaan yang bersifat duniawi yang lainnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan