Selasa, 4 Januari 2011

Al-Gazali dan Ihya

Al-Ghazali dan Ihyâ’-nya

"Hampir sahaja kedudukan Ihyâ’ menandingi al-Qur’an.”
Sanjungan tersebut disampaikan oleh tokoh karismatik `Ulamâ’ul-Islâm al-Imâm al-Faqîh al-Hâfizh Abû Zakariya Muhyiddîn an-Nawawi atau lebih dikenali dengan panggilan Imâm Nawawi Shâhibul-Majmû`, yang hidup dua abad selepas Imâm Al-Ghâzali.
Qutbil-’auliyâ’ as-Sayyid Abdullâh al-`Aydrus berpesan kepada umat Islam supaya tetap berpegang teguh pada al-Qur’an dan Sunnah. Sedangkan penjelasan kedua-duanya, menurut beliau, telah termaktub dalam kitab Ihyâ’ Ulûmiddîn karya Imâm Al-Ghâzali.
Dua komentar ulama tadi telah membuktikan keagungan kitab ini dan besarnya anugerah yang dicapai oleh Imâm Al-Ghâzali. Hinggakan pengkritik dan peneliti Hadis Ihyâ’, al-Imâm al-Faqîh al-Hâfîzh Abûl Fadhl al-`Irâqi, turut memberi apresiasi positif terhadap kitab yang ditakhrîjnya itu. Beliau menempatkan Ihyâ’ sebagai salah satu kitab teragung di tengah-tengah khazanah keilmuan Islam yang lain.
Begitu juga al-Faqîh al-`Allâmah Ismâ`il bin Muhammad al-Hadhrami al-Yamani ketika ditanya tentang karya-karya Imâm Al-Ghâzali; beliau menjawab “Muhammad bin Abdillâh adalah sayyidul-’anbiyâ’, Muhammad bin Idris as-Syâfi’i sayyidul-a’immah (penghulu ulama), sedangkan Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghâzali adalah sayyidul-mushannifîn (penghulu penulis/pengarang)“.
Sungguh agung sanjungan ulama-ulama tersebut terhadap kitab Ihyâ’ dan al-Ghâzali. Oleh itu, tidak berlebihan bila Syârih (komentator) kitab tersebut, Murtadhâ az-Zabîdi, memunculkan sebuah ungkapan, “andaikan masih ada Nabi setelah Muhammad nescaya al-Ghâzalilah orangnya”.
Mengenal Ihyâ’ Ulûmiddîn
Di samping kerana cakupan kandungan yang tersaji di dalamnya, kitab ini juga disokong oleh ilmu jurnalistik yang sistematik. Sistematik penulisan yang begitu rapi menjadikan Ihyâ’ lebih menarik dan mudah dibaca oleh setiap kalangan; sederhana, berkualiti, dan tidak terlalu meluas dalam penyajian. Malah istilah-istilah rumit pun jarang ditemui dalam perbendaharaan kata yang digunakan.
Imâm Al-Ghâzali telah mengkonsep bahan yang ditulisnya dalam empat klasifikasi kajian dasar. Dari setiap klasifikasi tersebut terdapat sepuluh entri pembahasan utama (kitab). Secara umum, isi keseluruhan kitabnya sudah mencakupi tiga sendi utama pengetahuan Islam, yakni Syarî`at, Tarîqat, dan Haqîqat. Imâm Al-Ghâzali juga telah menghubungkaitkan ketiga-tiganya secara praktis dan mudah ditangkap oleh akal pembaca. Sehingga, as-Sayyid Abdullâh al-`Aydrus memberi satu kesimpulan bahawa dengan memahami kitab Ihyâ’ seseorang telah cukup untuk menguasai tiga sendi agama Islam tersebut.
Inilah dibeberapa alasan mengapa kitab ini sangat digemari oleh banyak kalangan. Oleh fuqaha, Ihyâ’ dijadikan sebagai rujukan standard dalam bidang fiqh. Oleh para sufi, kitab ini menjadi bahan pokok yang tidak boleh ditinggalkan. Kedua-dua kajian ilmu tersebut telah tercakup dalam karya momumental Imâm Al-Ghâzali ini. Oleh itu, al-Habîb Muhammad Lutfy bin Yahya, pemimpin Jam`iyah Tarîqah Mu`tabarah Nahdiyah yang sekaligus mursyid Tarîqah Naqsabandi, menyebut Ihyâ’ sebagai panduan utama tasawuf bagi pemula, atau dalam dunia tasawuf dikenal dengan istilah tasawwuful-fuqahâ’.
Sebenarnya, tidak hanya dua kelompok ini yang banyak merujuk Ihyâ’, Para teolog Islam juga menganggap penting untuk menempatkan Ihyâ’ sebagai bahan dasar kajian. Paradigma bertauhid yang disajikan Imâm Al-Ghâzali di awal pembahasan kitab Ihyâ’ sangat membantu dalam pencerahan akal dalam proses pengesaan Allah s.w.t. Imâm Al-Ghâzali mampu mengarahkan logik pembaca kepada satu kesimpulan yang benar dalam bertauhid dengan cara berfikir yang tepat dan berdiri kukuh di atas dalil-dalil naqli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan