Ahad, 14 November 2010

Puasa Arafah / Puasa Wukuf

Kelebihan puasa Arafah

tarikh di Malaysia
Kelebihan berpuasa dalam bulan Zulhijjah? Apa pula kelebihan puasa hari Arafah? Jawapan; Dari Hafsah r.a. menceritakan;
“Empat amalan yang tidak ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘ashyr (yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah), puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, at-Thabrani dan an-Nasai) Maksud al-‘Ashyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Dzulhijjah hingga hari ke sembilannya. Disunatkan puasa pada hari-hari tersebut terutamaya pada hari ke sembilan iaitu hari Arafah. Malah terdapat hadis lain yang menegaskan bahawa sepuluh hari awal Dzulhijjah adalah hari-hari paling baik untuk beramal dengan apa sahaja amal kebaikan, tidak tertumpu kepada puasa sahaja, iaitu sabda Rasulullah s.a.w.;
“Tidak ada hari-hari di mana mengerjakan amal soleh padanya paling disukai oleh Allah dari hari-hari ini; yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
Adapun fadhilat puasa hari ‘Arafah iaitu hari ke 9 Dzulhijjah, Abu Qatadah r.a. menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang”. (Riwayat Imam Muslim)
Hari ‘Arafah adalah hari yang paling afdhal dari segala hari. Ini kerana Rasulullah bersabda;
“Tidak ada satu hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari api neraka dari hari ‘Arafah”. (Riwayat Imam Muslim)
Namun demikian puasa pada hari ‘Arafah itu hanya disunatkan kepada yang bukan jamaah Haji. Adapun jemaah Haji, mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut, akan tetapi disunatkan berbuka sebagai mengikuti Rasulullah s.a.w. dan untuk memperolehi kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut. Abu Hurairah r.a. menceritakan;
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; “Orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w, berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah”. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya. (Riwayat Imam Muslim).

Wallahu A’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan