Isnin, 27 September 2010

Didikan Allah

Didikan Allah Dalam Al Fatehah
Bila kita perhatikan 5 ayat pertama Al Fatehah, kita dapat melihat bagaimana didikan dan tarbiah Allah. Stail tarbiah Allah itu sebenarnya ada dalam surah Al Fatehah. Kalau para guru, pemimpin dan ibu ayah boleh faham, boleh hayati dan boleh applykan kepada pengikut, anak buah, murid-murid dan anak-anaknya, insyaAllah, berkat dari Allah akan sangat memberi kesan. Tetapi mungkin orang tidak perasan .
Mari kita mencungkil dari susunan ayat-ayat Al Fatehah, bagaimana Allah mendidik manusia. Kalau ilmu ini dapat kita miliki, dapatlah kita applykan dalam kita mendidik. Sebenarnya didikan dalam Al Fatehah sangat cantik dan sistematik.
Allah mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara tadarruj yakni beransur-ansur. Dari yang ringan-ringan kepada yang agak berat, sehinggalah yang sangat berat, sampailah matlamat yang Allah maksudkan. Kalau kita baca dari ayat `Bismillah` hingga "Iyyakana`budu...", banyak ilmu pendidikan yang kita dapat. Allah mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara bertahap agar sesuai dengan akal dan fitrah manusia. Sebab Allah jadikan akal dan fitrah manusia tidak boleh diasak sekaligus kerana ia akan rosak. Sama ada dia tidak tahan dan jadi jumud atau dia militan dan agresif. Keduanya Allah tidak mahu kerana keduanya bahaya. Sebab itu Allah mendidik secara bertahap.
Matlamat terakhir adalah bahawa Allah itu adalah Rabb yang mesti manusia sembah hendaknya manusia meminta tolong dari-Nya. Itu kemuncak kepada pengenalan dari didikan secara  tadarruj tadi atau yang beransur-ansur. Matlamat Allah ialah supaya orang akui Dia Allah dan mesti menyembah Dia. Di awal surah, Dia tidak terus kenalkan diri Nya, "Aku Allah." Tetapi Allah perkenalkan dirinya secara sedikit demi sedikit, iaitu:
1. Allah kenalkan diriNya dengan secara gembira atau tabsyir: 
Dalam "Bismillahirrahmanirrahim", dikenalkan Allah itu maha Pemurah dan maha Penyayang. Dirasakan nikmat yang terlalu banyak. Ada nikmat rohaniah, maknawiyah dan ada nikmat lahir. Bila disebut begitu, ada dua yang tersirat yakni :
a) Ada khabar gembira. Nikmat itu adalah khabar gembira. 
b) Tidak ada nikmat melainkan yang Allah beri. Tidak ada saluran selain dari Allah. Sama ada nikmat maknawi atau yang lahir.
Mungkin kita tidak terasa kerana kita sudah lama menjadi orang Islam dan sudah sering mendengar Fatehah sehingga kita sudah lali. Orang Arab, waktu mula-mula datang wahyu itu, 1500 tahun lalu, bila turun ‘Bismillah’ mereka terkejut. Sebelum turunnya ayat itu, mereka fikir nikmat-nikmat itu dari jin, malaikat atau bagi hamba sahaya, dia ingat nikmat itu datang dari tuannya. Dengan turunnya ayat ‘Bismillah’, mereka terkejut dan tersedar rupa-rupanya nikmat-nikmat itu datangnya dari Allah. Jadi dia terasa bahawa rupanya Allah itu baik.
2. Bila sudah faham bahawa nikmat ini khabar gembira dari Allah maka Allah mengajak memuji Dia dengan ayat " Alhamdulillah...." Bagaimana kalau tidak sebut nikmat, tidak sebut khabar gembira tetapi terus disuruh memuji Allah? Tentu orang akan rasa, kenapa hendak puji Allah? Begitulah cantiknya cara Allah mendidik manusia.
3. Selanjutnya, manusia disedarkan bahawa pujian itu tidak boleh dikongsi. Hanya untuk Allah. raja atau orang besar tidak boleh kongsi pujian itu dengan Allah. Kalau kongsi dengan Allah, itu dosa yang paling berat. Bila dikatakan nikmat itu dari Allah, jadi layaklah Allah sahaja yang boleh dipuji. Allah kenalkan diri Nya bahawa Dia, "Rabbul `alamin," yang mentadbir seluruh alam, dunia dan Akhirat. Orang yang mula-mula dengar ayat ini, 1500 tahun lalu merasa terkejut. "Hebat Allah ya. Bukan sahaja Dia beri nikmat dan Dia yang patut dipuji, rupanya Dia itu mentadbir." Lagi terasa besarnya Allah itu. Bukan sahaja Dia mentadbir dunia, bahkan Akhirat pun Dia tadbir.
4. Kemudian Allah perkenalkan diri Nya lagi dalam "Arrahmanir rahim", diulang lagi tentang khabar gembira dan ada tanzir yang menakutkan. Cara Allah beri nikmat pada manusia ada 2 cara iaitu: pemurah dan cara kasih sayang . Kadang-kadang atas nama kasih sayang, Dia beri sedikit nikmat sahaja. Atas nama pemurah, Dia beri banyak. Tetapi atas nama pemurah, itu secara istidraj. Allah beri banyak itu secara murka. Di sini orang naik takut dan akan berfikir, adakah nikmat dari Allah itu dia dapat atas dasar istidraj atau atas dasar rahmat. Di sini ada tanzir (peringatan), ada didikan untuk menakutkan. Sehingga bila seseorang dapat nikmat Allah, dia tak akan lupa diri. Allah beri sedikit kepada orang yang Dia sayang, atas dasar rahmat juga. Seolah-olah Allah kata," Buat apalah Aku beri banyak di dunia. Beri najis kepada hamba yang Aku sayang. Aku hendak simpan nikmat untuknya di Akhirat." Tetapi manusia tidak faham. Bila dapat sedikit, rasa sedih sangat. Bila Allah beri atas dasar pemurah, kadang Allah beri banyak. Di situlah murka dan laknat Allah. Di situlah istidraj.
5. Kemudian Allah kenalkan lagi diri-Nya agar cinta dan takutkan murka Allah itu bertambah. "Malikiyau middin". Dia kenalkan diri Nya bahawa Dia miliki Akhirat.Tidak sebut dunia. Di sini juga ada didikan iaitu: Kuasa mutlak itu di tangan Allah, tidak dikongsi langsung dengan sesiapa. Allah hendak sedarkan manusia bahawa dunia yang kita pandang hebat itu sehingga manusia sampai bergaduh, rupanya tidak ada nilai di sisi Allah. Manusia sahaja yang memandang dunia itu besar sedangkan bagi Allah, tidak ada nilainya sekalipun bandingan sebelah sayap nyamuk. Maka carilah dunia untuk Akhirat. Jika tidak manusia akan sangat rugi.
6. Terasa lagi kebesaran Allah. Setelah Allah perkenalkan diri-Nya dari ayat 1 sehingga 4, setelah terasa kebesaran Allah, maka barulah Allah cakap bahawa hanya Dia yang sepatunya disembah dan Dia tempat meminta pertolongan. Dalam ayat ke 5 itu, setelah ilmu tentang Allah sudah lengkap, barulah Allah arahkan agar Dia disembah, "Iyyakana`budu waiyyakanasta`in".
Cara yang Allah lakukan itu dalam mendidik manusia, Allah minta agar manusia lakukan kepada manusia juga. Cara mendidik, cara mengasuh telah Allah tunjukkan dalam Fatehah tadi iaitu secara beransur-ansur. Cara itulah yang Allah minta kita buat dalam mendidik manusia sehingga akhirnya manusia menyembah / mengabdi kepada  Allah. Itulah ilmunya, teorinya.
Luar biasanya Allah bila Allah pun telah tunjukkan realiti dari teori ini atau bagaimana Allah aplikasikan teori ini, iaitu secara realitinya, perintah solat diturunkan setelah 11 tahun kerasulan. Di peringkat awal, selama 11 tahun Allah turunkan ayat-ayat untuk mengenalkan Allah. Kalau dari awal diperintahkan solat, kita akan ragu dengan teori pendidikan beransur-ansur tadi. Seolah-olah Allah cakap lain tetapi buat lain. Tetapi terbukti, realitinya tepat dengan teorinya. Nampak kebesaran Allah. Cantik sungguh didikan Allah. Tetapi guru-guru tidak hayati ini. Rasulullah SAW mendidik manusia dengan kenalkan Allah dahulu. Pada tahun ke 11 kerasulan barulah solat diwajibkan.
Itulah ilmu pendidikan yang kita dapat cungkil dari susunan ayat dalam surah Al Fatehah. Maha Besar Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan