Jumaat, 6 Ogos 2010

PUASA DARI SUDUT KEROHANIAN

PUASA DARI SUDUT  KEROHANIAN SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI
Puasa yang ditentukan oleh syariat ialah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai masuk waktu Subuh hingga masuk waktu Maghrib. Puasa dari segi ruhaniah pula ialah membersihkan semua pancaindera dan fikiran dari semua yang haram di samping menahan diri yang ditetapkan dalam puasa syariat itu.
Zahir dan batin hendaklah diharmonikan. Puasa dari segi ruhaniah atau kebatinan ini akan batal sekiranya tergelincir niat dan minda terhadap perkara-perkara yang haram walaupun sedikit. Puasa syariat atau puasa zahir tertakluk kepada masa atau waktu tetapi puasa batin sentiasa terus menerus sepanjang hayat di dunia dan di akhirat. Inilah puasa hakiki.
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Ada di kalangan manusia yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja." Orang berbuka apabila mereka makan tetapi ada pula yang terus menerus berpuasa walaupun mereka telah makan. Inilah orang yang membersihkan pancaindera dan fikiran mereka dari perkara-perkara yang maksiat dan dosa dan menahan tangan dan lidah daripada menyakiti hati orang. Untuk mereka itu, Allah menjanjikan: "Puasa itu ibadah yang dilakukan untuk-Ku. Maka Akulah yang memberi ganjaran kepadanya."
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan. Pertama tatkala berbuka dan kedua, tatkala melihat." Orang syariat berkata bahawa kegembiraan yang pertama itu ialah tatkala berbuka puasa kerana dapat makan dan minum setelah berpuasa sepanjang hari dan maksud kegembiraan yang kedua itu ialah apabila melihat anak bulan Syawal setelah berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan dan akan menyambut hari raya pula.  Bagi pengertian orang keruhanian dengan maksud batin puasa itu ialah bahawa kegembiraan berbuka puasa itu ialah ketika si mukmin itu memasuki syurga dan menikmati segala-gala yang diperoleh dalam syurga itu. Maksud kegembiraan tatkala melihat itu ialah apabila mereka melihat Allah dengan mata hati yang batin.
Satu lagi puasa yang lebih tinggi martabatnya dari dua jenis puasa yang tersebut di atas ialah puasa hakiki atau puasa yang sebenar. Puasa ini ialah menahan hati dari menyembah apa sahaja selain zat Allah. Ianya diamalkan dengan menahan mata hati itu dari melihat ghairullah (selain Allah), baik yang zahir mahu pun yang batin. Hati itu dibutakan dari ghairullah dan dicelikkan hanya kepada Allah dan cinta kepada-Nya sahaja. Allah menjadikan sesuatu untuk insan dan insan itu Allah jadikan untuk diri-Nya sendiri.
Dalam hadis Qudsi Allah berfirman: "Insan itu rahsia-Ku dan Aku rahsianya." Rahsia itu ialah suatu nur (cahaya) dari nur Allah. Ianya ialah titik tengah (centre) hati yang dijadikan dari suatu yang seni dan ghaib. Ruh sahaja yang tahu semua rahsia itu. Ianya juga adalah perhubungan rahsia antara Khaliq dan makhluk. Rahsia itu tidak cinta dan tidak tertarik kepada apa jua kecuali Allah s.w.t.
Tidak ada apa dan siapa pun yang dipuja dan dipuji, yang dicintai dan yang dirindui kecuali Allah s.w.t. Tidak ada matlamat yang dituju kecuali Allah. Jika ada satu zarah pun cinta terhadap ghairullah masuk kedalam hati, maka batallah puasa hakiki ini. Jika telah batal, maka perlu diulang lagi berpuasa, menghidupkan niat dan harapan untuk kembali kepada cinta Allah, di dunia dan di akhirat kerana Allah berfirman: "Puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang memberi ganjarannya."
Wallahu a'alam.
(kampungchat.net)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan